Frankie Anak Rimong berkaca mata hitam selepas keluar dari Mahkamah Majistret di sini selepas didakwa mengambil dadah.
JOHOR BAHRU- Seorang seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mengambil dadah pada awal bulan ini.
Bagaimanapun, tertuduh Frankie Anak Rimong, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret, R. Salini.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, jam10.55 pagi, 6 Ogos lalu.
Pertuduhan dilakukan  mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,  Chan Choon Yiew manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.
Terdahulu, Shyue Chien meminta mahkamah mengurangkan ikat jamin yang dikenakan, memandangkan tertuduh yang masih bekerja mempunyai tanggungan empat orang anak.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM 2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Oktober depan.
Media pada 6 Ogos lalu melaporkan enam penjawat awam berusia  26 hingga 43 tahun  ditahan ketika asyik berhibur bersama 62 individu lain di sebuah pusat hiburan dekat Plaza Sentosa,Taman Pelangi di sini.
Tiga daripada enam anggota dan pegawai polis itu dalam keadaan khayal di pusat hiburan terbabit dan telah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 15 Ogos.
Bagaimana pun, anggota dan pegawai polis berusia 29 hingga 31 tahun itu, mengaku tidak bersalah selepas didakwa bagi pertuduhan menggunakan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette