Warga SP Care dan Tamil Malar bantu golongan terjejas pandemik di Kuala Kubu Bharu.

RAWANG – Walaupun sibuk dengan tugasan  sebagai barisan hadapan tangani Covid-19 saban hari, SP Care Group dengan rangkaian 13 klinik terus aktif mendekati golongan terjejas akibat Covid-19.

Malah hampir setiap masa terluang pastinya warga SP Care yang diketuai oleh pengasasnya sendiri, Dr Sathia Prakash Nadarajan akan turun padang di Rawang dan Hulu Selangor menyantuni masyarakat dengan sumbangan bakul makanan dan bantuan perubatan.

Terbaharu, inisiatif SP Care mendapat perhatian pelopor akhbar Tamil arus perdana, Tamil Malar iaitu Oms Thiagarajan yang juga selama ini aktif dalam melakukan pelbagai kebajikan bagi masyarakat setempat.

Oms dan SP Care kemudian seharian suntuk bersama-sama mendekati sekurang-kurangnya 150 buah keluarga di Kampung Orang Asli Peretak Kuala Kubu Bharu di sini sebelum menyambung menyumbangkan makanan kepada golongan sasaran di Kampung Bharu.

Walaupun hujan lebat dan kilat namun ia tidak mematahkan semangat mereka menyampaikan misi sumbangan.

Menurut Dr Sathia, beliau mengakui teruja apabila Oms turut bersama-samanya menyertai misi bantuan.

“Saya dari awal lagi sudah sampaikan hasrat saya, lebih ramai yang tampil membantu lebih baik kerana terlalu ramai memerlukan bantuan ketika ini. Klinik SP Care lebih banyak cawangannya di Rawang dan Hulu Selangor.

“Kita juga ada sediakan nombor hotline untuk dihubungi bagi sesiapa yang memerlukan bantuan bekalan asas yang sebenarnya boleh bertahan sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu.

“Kita juga ada sediakan food bank yang kita letak luar klinik di Rawang, itu boleh diakses pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam namun pada masa kita mahu yang benar-benar memerlukan untuk manfatkan inisiatif sepenuhnya.

“Dalam bakul makanan ini kita sediakan keperluan asas seperti beras, bihun, gula, garam, sardin, kicap, serbuk kari, tepung. Bagi keluarga yang ada anak-anak kecil serta menyusu, kita sediakan juga tepung khas.

“Kita juga ada beri sumbangan sabun, ubat gigi dan lain-lain. Walaupun ramai juga tampil yang mahu membantu dan bersama-sama inisiatif ini juga sebenarnya setakat ini warga SP Care sendiri ingin laksanakan usaha sendiri bagi kepuasan diri juga,” katanya.

Sambung Dr Sathia, SP Care amat prihatin dan fokus serta komited dalam mendepani permasalahan dihadapi oleh masyarakat di kawasan pedalaman terutamanya yang tidak mempunyai akses kepada telefon atau telekomunikasi.

“Golongan seperti inilah kita cari dan sampaikan bantuan. Kita juga sediakan bantuan perubatan kepada yang benar-benar perlu. Setakat ini, kita sudah dekati ramai golongan sasaran tanpa kira kaum, latar belakang.

“Pada kami, mereka adalah sebahagian daripada kita dan kita harus bantu. Dari golongan asnaf, mualaf, kuil, tokong, masjid, surau, orang Asli serta lain-lain semuanya kami hulur bantuan.

“Kami memang penat kerja seharian malah hampir 24 jam, sejak pandemik melanda kami kerja tanpa henti tapi pada masa sama, apabila nampak senyuman atau sekurang-kurangnya airmata gembira dari wajah-wajah ini, kami terus semangat untuk terus lakukan lebih baik dari ini.

“Ini bukanlah publisiti murahan, ini adalah nilai kemanusian yang perlu ada pada semua. Sebagai barisan hadapan, kita semua perlu tampil apa sahaja selagi mampu kerana ini adalah satu fasa cukup rumit, sukar bukan sahaja disini sebaliknya seluruh dunia,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast