Ahmad Danial Asri (kiri).

KUALA LUMPUR –  Pemain muda Selangor FC, Ahmad Danial Asri, mengakui berasa bertuah bergandingan dengan pendahulu penjaring terbanyak Liga Super 2021, Ifedayo Omosuyi yang sentiasa bertindak menjadi pembimbing di atas padang.

Situasi itu sedikit banyak membantu perkembangan Danial yang mula mendapat rentak selepas berjaya menjaringkan dua gol daripada empat aksi terakhir bersama pasukannya.

Perkembangan itu dianggap sesuatu yang positif buat Danial yang sebelum ini pernah menjadi penjaring terbanyak bagi pemain tempatan bersama Selangor 2 pada musim lalu dengan tujuh gol.

“Ifedayo memang cukup bagus dalam padang telah menjaringkan 22 gol setakat ini dan banyak pengalaman serta tunjuk ajar yang saya dapat dari dia sama ada semasa latihan atau hari perlawanan.

“Dia tidak pernah marah dan sentiasa berikan sokongan kalau saya ada buat silap malah sentiasa berikan kata-kata semangat untuk saya percaya dengan cara permainan sendiri.

“Saya sangat suka dengan suasana sebegini kerana khidmat pemain muda rasa dihargai dan saya sangat berterima kasih kepada jurulatih kerana berikan peluang untuk bermain walau saya masih muda, ” katanya.

Daripada 19 perlawanan Liga Super musim ini, Danial telah memulakan permainan sebanyak lapan kali di dalam kesebelasan utama selain 10 kali selaku pemain gantian.

Tambah Danial, dia akui jaringan sulungnya di Liga Super semasa berdepan Penang pada 31 Julai lalu memberikan banyak kelegaan selepas menanti sekian lama.

Apa yang terjadi sedikit sebanyak memberikan keyakinan buat dirinya apabila sekali lagi berjaya meledak jaringan kedua semasa berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 13 Ogos.

“Semasa saya dapat lakukan jaringan pertama dengan Penang, perasaannya sukar digambarkan kerana saya sangat lega bercampur gembira kerana itulah gol yang saya cari-cari di Liga Super sejak awal musim ini.

“Selepas itu saya dapat jaringkan satu lagi gol semasa berdepan Kedah, dua gol ini kian memberikan saya rasa lagi bersemangat bagi mendapatkan lagi jaringan pada perlawanan akan datang.

“Tahun lepas saya sudah menjadi penjaring terbanyak bagi pemain tempatan di Liga Premier namun saya tidak meletakkan harapan yang sama di Liga Super kerana sedar sasaran itu melebihi daripada kemampuan saya buat masa ini, ” katanya.

Dalam pada itu, Danial berharap pemain-pemain muda seangkatan dengannya agar tidak takut untuk terus memberanikan diri beraksi di posisi penyerang biarpun kebanyakan pasukan bergantung kepada pemain import.

Menurutnya, setiap pemain perlu ada keazaman yang tinggi serta berikan yang terbaik semasa sesi latihan kerana peluang pasti akan hadir jika sentiasa bersikap positif.

“Memang tidak dinafikan semua pasukan banyak gunakan pemain import kerana mereka lebih bagus tetapi nasihat kepada adik-adik yang mungkin sekarang ini mahu serius bermain di posisi penyerang, jangan ada perasaan takut.

“Teruskan berusaha dan jangan berasa diri kita ini sangat kecil, kita tidak tahu mungkin kerja keras itu buatkan jurulatih akan nampak.

“Kita ambil pengalaman dan belajar dari pemain import kerana itu yang sebaiknya bagi memantapkan ilmu sebagai pemain yang lebih baik pada masa akan datang, ” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast