KUALA LUMPUR – Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC) melancarkan Geran Teknologi Global (GTG) iaitu inisiatif yang bermatlamat untuk memupuk juara global, mendorong pelaburan dan pemangkin ekosistem inovasi digital menerusi pembangunan dan pengkomersialan produk serta perkhidmatan dipacu-pasaran.

Geran berkenaan berfungsi untuk membantu penyelidikan dan pembangunan (R&D), meningkatkan peruntukan perkhidmatan R&D, pembangunan teknologi baharu, penubuhan Pusat Kecemerlangan dan mencipta produk dan perkhidmatan dipacu-pasaran baharu ke pasaran global.

GTG juga berperanan menyokong inisiatif pembangunan ekosistem berimpak tinggi, termasuk pembangunan ekosistem penggiat yang secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital seperti mewujudkan pekerjaan baharu, pengembangan eksport dan pelaburan serta pembangunan bakat yang kesemuanya berada di bawah fokus MDEC.

Geran berkenaan menawarkan dua jenis insentif iaitu Jenis 1, menjurus kepada syarikat teknologi dan Jenis 2 untuk pemacu teknologi.

Bagi Jenis 1, GTG menyasar untuk membantu meningkatkan keupayaan syarikat teknologi tempatan yang telah bersedia untuk menerokai pasaran global buat pertama kali atau mengembangkan kehadiran ke pasaran global sedia ada menerusi inovasi teknologi dan pengkomersialan produk dan perkhidmatan dipacu-pasaran.

Tujuan utamanya adalah untuk memacu potensi unicorn Malaysia yang sedang dalam pembikinan.

Geran Jenis 1 membiayai sehingga 50% daripada keseluruhan kos projek atau sehingga RM2 juta, yang mana terendah, untuk syarikat milik tempatan.

Bagi syarikat milikan asing, geran berkenaan membiayai sehingga 30% daripada keseluruhan kos projek atau sehingga RM2 juta.

Di bawah Jenis 2, GTG menyasarkan syarikat teknologi asing untuk membuka Pusat Kecemerlangan bagi menjalankan inovasi teknologi bernilai tinggi dan aktiviti R&D yang menerajui pembangunan dan pengkomersialan produk dan perkhidmatan dipacu-pasaran untuk pasaran global, selain menyumbang kepada pembangunan ekosistem.

Jenis 2 pula membiayai sehingga 30% daripada keseluruhan kos projek, yang mana terendah.

MDEC berkata, Geran Teknologi Global terbuka kepada syarikat tempatan dan milikan asing.

Bagi melayakkan diri untuk memohon GTG, syarikat mesti ditubuhkan di Malaysia di bawah Akta Syarikat 1965 atau Akta Syarikat 2016; memiliki modal terbitan dan berbayar minimum sebanyak RM20,000; dan minimum 51% ekuiti dipegang oleh rakyat Malaysia. Bagi syarikat yang kepentingannya dipegang oleh syarikat lain, peraturan sama tetap terpakai.

Kelayakan untuk syarikat milikan asing adalah syarikat mestilah ditubuhkan di Malaysia di bawah Akta Syarikat dengan modal terbitan dan berbayar minimum sebanyak RM500,000.

Syarikat mestilah beroperasi sekurang-kurangnya setahun.

Geran Teknologi Global dibuka untuk permohonan pada 27 Ogos 2021, bermula dengan sesi penerangan maya.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 September 2021, dengan penilaian dan kelulusan akan selesai pada Oktober manakala fasa pelaksanaan projek dijangka bermula pada November dan Disember. – MalaysiaGazette