Penjual sup herba, Muhammad Amar Zaid Muhammad Amir Lim (tengah) hadir ke mahkamah untuk didakwa atas kesalahan membuat laporan palsu terhadap anggota polis di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang penjual sup mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membuat laporan palsu bahawa dia diperas tiga anggota polis pada Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Amar Zaid Muhammad Amir Lim, 21, membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memberi laporan palsu kepada anggota polis dengan niat tindakan mengikut undang-undang diambil terhadap tiga anggota polis berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Sentul kira-kira pukul 12.03 tengah hari, 7 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar yang memohon jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam, Andy Yong Kim Seng yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dikenakan kerana anak guamnya masih muda dan hanya bekerja sebagai seorang penjual sup.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Amar Zaid mendakwa diperas ugut oleh anggota polis dalam kejadian pada 2 Jun lalu kerana gagal mengemukakan surat kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh ‘total lockdown’.

Pemuda itu kemudiannya memutuskan untuk menukar keterangan dan menarik balik dakwaan dia diperas oleh tiga anggota polis.

Dalam satu sidang media bersama Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pada 15 Jun, pemimpin DAP itu berkata, Muhammad Amar Zaid membuat keputusan menukar keterangan selepas disoal siasat oleh polis pada 14 Jun.

Difahamkan, kes dakwaan diperas oleh anggota polis itu turut mendapat liputan meluas dalam kalangan akhbar berbahasa Cina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast