Jorginho. Foto Instagram UEFA.

LONDON –  Musim gemilang pemain tengah Chelsea, Jorginho mendapat pengiktirafan apabila dia diumumkan Pemain Terbaik Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Beliau mengenepikan rakan sepasukan, N’Golo Kante dan bintang Manchester City, Kevin De Bruyne dalam majlis di Istanbul, Turki hari ini.

Anugerah itu membabitkan juri terdiri daripada jurulatih 24 pasukan kebangsaan yang beraksi di Euro 2020, 80 jurulatih kelab yang bermain di peringkat kumpulan Liga Juara- Juara dan Liga Europa musim lalu selain seorang wartawan daripada setiap 55 ahli gabungan UEFA.

Jorginho, 29, meraih 175 mata mengatasi De Bruyne manakala Kante di tempat ketiga.

Pemain antarabangsa Itali bergandingan dengan Kante ketika Chelsea memenangi Liga Juara-Juara selepas menewaskan City ditunjangi De Bruyne pada final di Porto, dan kemudiannya membantu Itali menjuarai Euro 2020.

Sementara itu, pemain Barcelona, Alexia Putellas dipilih pemenang kategori wanita selepas mengetuai pasukannya memenangi Liga Juara-Juara dengan menewaskan Chelsea 4-0 di final.

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel dinobat jurulatih terbaik manakala Lluis Cortes dari Barcelona muncul pemenang kategori wanita.  – MalaysiaGazette