One Hope Charity & Welfare sumbangkan kontena sejuk beku kepada Hospital Pulau Pinang bagi menempatkan jenazah pesakit Covid-19.

GEORGE TOWN – Penggunaan katil Covid-19 di wad unit rawatan rapi (ICU) di Pulau Pinang sudah mencapai 100 peratus susulan peningkatan kes positif di negeri itu.

Pengarah HPP, Datuk Dr. Teo Gim Sian berkata, bagi menangani isu tersebut pihaknya kini dalam perancangan untuk menggunakan katil wad lain bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan intensif di HPP.

“Bagi pesakit biasa Covid-19 kita akan menggunakan katil-katil di wad lain untuk merawat mereka ekoran peningkatan kes ketika ini.

“Kita sudah membuat persediaan dan akan memperuntukkan sebanyak mungkin katil untuk pesakit Covid-19 termasuk menggunakan katil di wad-wad sedia ada di HPP.

“Kita akan berusaha keras dan tidak akan berputus asa dalam menghadapi gelombang kes pesakit Covid-19 yang sedang meningkat di negeri ini,” kata beliau.

Dr. Gim Sian (kiri) ketika menerima sumbangan kontena daripada One Hope Charity & Welfare di HPP di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ditemuipada majlis penyerahan sumbangan kontena sejuk beku bagi menyimpan mayat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) One Hope Charity & Welfare di Jabatan Forensik HPP hari ini.

Kontena sepanjang 12 meter bernilai RM90,000 itu diserahkan Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau.

Difahamkan, kontena itu mampu menampung kapasiti 200 ruang simpanan jenazah sedia ada di Pulau Pinang ketika ini iaitu masing-masing di HPP dan Hospital Kepala Batas.

Dalam perkembangan sama, Dr. Gim Sian berterima kasih kepada kerajaan negeri yang menjadikan Kompleks Masyarakat Penyayang di sini sebagai pusat rawatan pesakit Covid-19.

“Pusat itu dijangka mula beroperasi minggu depan dan mampu menempatkan sehingga 100 pesakit Covid-19 sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di HPP dalam merawat pesakit berkenaan.

“Selain itu, HPP juga bekerjasama dengan empat buah hospital swasta yang mana mereka menerima pesakit-pesakit bukan Covid-19 bagi rawatan lanjut di hospital terbabit,” ujar Gim Sian.

Untuk rekod, Pulau Pinang semalam mencatatkan sebanyak 2,078 kes baharu positif Covid-19 dengan 31 kematian. – MalaysiaGazette