KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah buat atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya meraih pingat emas sulung kontinjen negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri menyifatkan kejayaan dilakar Bonnie itu bakal menyuntik semangat kepada rakan atlet lain untuk meneruskan pemburuan pingat di Tokyo.

“Pencapaian cemerlang Bonnie sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

“Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan-kejohanan mendatang,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, rekod temasya disandang atlet Iraq, Rasool Mohsin dengan angkatan 227kg di Paralimpik Rio 2016.

Pada awal pertandingan, Bonnie yang turun selaku pemegang rekod dunia, mudah mendahului pesaing yang lain pada percubaan pertama dengan melakukan 217kg sebelum melakukan 225kg di percubaan kedua dan 228kg di percubaan ketiga.

Begitupun usaha untuk memecahkan rekod dunia 230kg disandangnya tidak berjaya pada percubaan keempat dengan angkatan 231kg. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast