Toh Puan Sagiyah Salikin isteri Allahyarham Ahmad Sarji Abdul Hamid menyiram air dipusara di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 2, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 OGOS 2021.

PETALING JAYA – Jenazah bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, kira-kira pukul 11.58 pagi tadi.

Majlis pengebumian hanya dihadiri ahli keluarga rapat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menjaga penjarakan sosial.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham selesai disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, pada pukul 11.40 pagi.

Hanya 150 individu yang dibenarkan berada di dalam masjid hanya sekitar 150 orang memandangkan ia tertakluk di bawah pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ahmad Sarji, 82 meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini jam 1.40 pagi tadi.

Allahyarham yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu akibat komplikasi COVID-19 pada 31 Julai lalu.

Allahyarham berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette