Tiga batang rotan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk mendera tiga anaknya dalam kejadian di pangsapuri di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang ibu tunggal bersama kekasihnya kerana disyaki mendera tiga kanak-kanak di sebuah pangsapuri di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 45 tahun yang juga merupakan penghuni di pangsapuri tersebut pada Khamis, kira-kira pukul 6.30 petang.

Menurut beliau, pengadu telah pergi unit kediaman itu pada Isnin lalu untuk memeriksa dan mendapatkan pengesahan setelah dimaklumkan oleh seorang lagi penghuni lain.

“Pengadu mendapati kediaman itu dihuni oleh seorang ibu tunggal warga tempatan bersama tiga anaknya yang berusia empat, enam dan tujuh tahun serta kekasihnya yang juga merupakan seorang warga tempatan.

“Ketika bertemu, pengadu menasihati ibu tunggal terbabit supaya tidak memukul anak-anaknya dan suspek telah menyerahkan anak perempuannya berusia empat tahun untuk dijaga oleh pengadu.

“Hasil pemeriksaan ke atas anggota badan kanak-kanak itu terdapat kesan lebam serta kecederaan dan pengadu telah membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah petaling Jaya kemudiannya melakukan serbuan ke atas unit kediaman itu semalam, kira-kira pukul 4 petang dan menahan sepasang kekasih berusia 30 tahun 38 tahun kerana disyaki melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

Jelas beliau, pihaknya turut merampas tiga batang rotan pelbagai saiz dipercayai senjata yang digunakan oleh suspek.

“Turut diselamatkan adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas badan kanak-kanak terbabit mendapati terdapat kesan kecederaan disyaki akibat penderaan dan kedua-dua mangsa yang diselamatkan juga dihantar ke PPUM dan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, kedua-dua suspek kini ditahan untuk disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati masyarakat supaya peka dengan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan kediaman atau kejiranan.

“Kita menyeru kepada masyarakat supaya dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes keganasan rumah tangga atau penderaan kepada polis dengan segera supaya mangsa dapat diselamatkan.

“Untuk melaporkan sebarang kejadian berkaitan keganasan rumah tangga atau penderaan kanak-kanak, sila hubungi Talian Kasih 15999,” ujarnya. – MalaysiaGazette