Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Tangan kanan seorang wanita yang cedera parah diserang tiga penjenayah dalam satu kejadian samun motosikal dekat Jalan Kuching di sini Khamis lalu terpaksa dipotong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat mangsa memaklumkan pihaknya terpaksa berbuat demikian untuk menyelamatkan nyawa mangsa.

Katanya, tangan mangsa telah dipotong oleh doktor semasa rawatan di HKL pada Jumaat lalu.

“Doktor yang memberikan rawatan kepada mangsa sahkan tiada pilihan lain selain terpaksa memotong tangan kanan wanita itu demi menyelamatkan nyawanya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Eng Lai, dalam perkembangan terbaharu kes itu, polis masih mengesan suspek dan setakat ini belum ada tangkapan dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, usaha mengesan dan menjejaki suspek kejadian itu telah dipergiatkan anggotanya.

“Kita yakin dapat mengesan dan menangkap suspek kejadian ini untuk tindakan lanjut polis,” tegasnya.

Pada Khamis lalu, sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal di atas jalan raya.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 12.10 tengah malam itu mengakibatkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta tidak sedarkan diri sebelum dirujuk dan dirawat di HKL.

Berdasarkan laporan, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching di sini menghala ke Jinjang sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal RS150 warna kelabu.

Siasatan awal polis mendapati suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa nombor pendaftaran VFU 814.

Polis kini giat mengesan suspek bagi kes yang sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

Saksi kejadian atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-4048 2206.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Allahu Akbar. Moga tertangkap lah penyamun tu dan dipotong tangannya biar sepadan dengan apa yang terjadi pada mangsa. Barulah dinamakan keadilan Islam

Comments are closed.