KDA FC dna Rozaimi mencapai persetujuan bersama menamatkan kontrak selepas lapan bulan bersama skuad hijau kuning itu.

KUALA LUMPUR – Pasukan Kedah Darul Aman (KDA)  Football Club telah mencapai persetujuan bersama Rozaimi Abdul Rahman untuk menamatkan kontrak pemain itu lebih awal selepas lapan bulan bersama pasukan Liga Super itu.

Dalam kenyataan hari ini, kelab itu berkata, penamatan kontrak adalah penyelesaian akhir atas permohonan pemain tersebut selepas kelab memberi peluang tempoh dua bulan buat Rozaimi untuk menyelesaikan hal peribadi sebelum beliau memutuskan haluan kerjaya bola sepak.

“Pihak pengurusan kelab menghormati pendirian beliau walaupun kudrat dan pengalamannya ditagih di bahagian serangan,” kata kelab itu dalam kenyataan hari ini.

Rozaimi sebelum ini diikat KDA FC selama satu musim bagi mengisi jentera serangan pasukan setelah berkelana di JDT II selama empat tahun.

Sepanjang berkhidmat bersama musim 2021, Rozaimi membuat sembilan penampilan dan 264 minit aksi dan satu hantaran menghasilkan gol bersama Skuad Hijau Kuning.

Penampilan terakhir Rozaimi adalah ketika membantu KDA FC menang ke atas Melaka United FC pada 30 April 2021,” tegas KDA FC.-MalaysiaGazette