Anggota polis menahan seorang penunggang motosikal yang disyaki memiliki air ketum semasa mengadakan sekatan jalan raya pada Ops Motosikal di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kedai makan yang memberi alasan membantu rakannya mengambil air ketum bersama ubat batuk ditahan dalam Operasi Motosikal di Jalan Bangsar di sini semalam.

Lelaki berusia 23 tahun itu selepas ditahan polis dalam operasi mendakwa dalam perjalanan pulang dari Sungai Buloh ke Bangsar untuk mengambil satu botol air ketum dengan ubat batuk bagi rakannya.

“Tuan, saya hanya tolong kawan ambil barang itu (air ketum dengan ubat batuk) tetapi saya sendiri tidak minum.

“Saya memang tahu perbuatan itu salah tetapi saya hanya berniat mahu membantu kawan bukan untuk saya minum,” katanya semasa ditahan dalam operasi itu.

Anggota polis menahan seorang penunggang motosikal yang disyaki memiliki air ketum semasa mengadakan sekatan jalan raya pada Ops Motosikal di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 OGOS 2021.

Dalam operasi bermula pukul 9 malam hingga 12 tengah malam itu, kira-kira 300 penunggang motosikal telah diperiksa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak 164 saman dikeluarkan pihaknya atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

Antara kesalahan yang dikesan dilakukan adalah tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai ekzos dan lain-lain.

“Selain itu, kami turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang membawa sebotol air ketum bersama sebotol ubat batuk yang diletakkan di dalam bakul motosikalnya di Jalan Bangsar.

Anggota polis trafik melakukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal semasa mengadakan sekatan jalan raya pada Ops Motosikal di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 OGOS 2021.

“Lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Pihak polis akan melakukan operasi berkenaan secara konsisten dalam usaha memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya,” katanya dalam kenyataan, yang dikeluarkan pagi ini.-MalaysiaGazette