Ole Gunnar Solskjaer. Kredit Foto: Reuters

LONDON – Ole Gunnar Solskjaer memberi amaran kepada Edinson Cavani dan Fred yang mereka akan terlepas peluang beraksi dalam liga jika meneruskan niat ke Amerika Selatan untuk tugas bersama pasukan kebangsaan.

Pada minggu lalu, Liga Perdana mengeluarkan kenyataan mewakili 20 kelab EPL bahawa pihaknya tidak akan melepaskan pemain untuk tugas aksi kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 bermula September ini jika mereka beraksi dalam negara yang disenaraikan dalam zon merah United Kingdom.

Justeru pemain yang terlibat disyaratkan kuarantin kendiri di hotel selama 10 hari selepas pulang.

Ini bermakna Fred atau Cavani berkemungkinan tidak akan beraksi dalam dua perlawanan EPL. pusingan ketiga piala Carabao dan aksi pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah menentang Young Boys.

Pengurus Manchester United itu memberi peringatan dan bimbang tahap kecergasan pemain yang menyertai aksi antarabangsa terjejas.

Majoriti negara Amerika Selatan tersenarai dalam senarai negara merah dalam senarai pandemik dan tiada pengecualian untuk pemain.

“Kedua-dua pemain itu seharusnya memberi keutamaan kepada kelab berbanding aksi antarabangsa bersama pasukan kebangsaan.

“Saya tak nak jadi pengurus yang asyik tengking dengan pemain. Jika kamu menjalani kuarantin 10 hari di hotel dengan tiada peluang untuk berlatih dan kekalkan kecergasan, maka kamu memerlukan 10 hingga 14 hari tambahan untuk mengembalikan tahap kecergasan sebenar pada asal.

“Kita menghadapi situasi luar biasa di kelab, untuk pemain serta memahami peraturan isu sempadan yang dikuatkuasakan sebab itulah kita perlu mematuhinya.

“Jika saya diberi pilihan antara kelab Man United atau Norway, saya tahu siapa majikan saya,” katanya.

Cavani sebelum itu meluahkan rasa tidak puas hati dengan halangan itu memandangkan Uruguay perlu mengharungi aksi penting menentang Peru, Bolivia dan Ecuador dan berpeluang layak ke Qatar berdasarkan perbezaan dari segi jaringan gol.

Cavani tidak mahu ketidakhadirannya akibat sekatan ini menjejaskan peluang kelayakan pasukannya ke Qatar tahun hadapan.-Dailymail.com.