Datuk Seri Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng baru-baru ini.

SELALUNYA dalam keadaan atau situasi apa sekalipun, terdapat segelintir manusia lebih suka memberikan komentar, walau adakalanya perkara itu tidak perlu pun diberikan apa-apa balasan. Apatah lagi ketika situasi kini yang segalanya di hujung jari. Sebahagian netizen memang laju sahaja memberi maklum balas yang sering tidak selari dengan isu yang dibahaskan atau boleh jadi emosi mereka lebih mendahului sebelum jelas kedudukan sebenar sesuatu lontaran yang diketengahkan.

Perkara paling menjengkelkan adalah apabila sesuatu isu dibesarkan, dilondeh sehabisnya
demi kepuasan diri atau kumpulan tertentu, tidak kiralah dari segi politik, tokoh, selebriti,
influencer dan apa sahaja yang seseorang itu suka. Ketaasuban yang melampau akhirnya membuka ruang-ruang negatif hingga hilangnya akhlak, adab juga kesopanan, kerana bahasa-bahasa kesat lagi kotor yang menguasai dihamburkan dengan sesukanya.

Ironinya bangsa di negara ini dikaitkan dengan adab dan kesopanan yang tinggi, apabila
mendepani isu-isu remeh, ia seakan tiada batasan, hilang pertimbangan, menghukum
dengan sebera-beratnya. Begitu juga ketika situasi sebaliknya, seseorang yang baik diagungkan seakan tidak pernah melakukan kesalahan. Apabila ia terjadi, rasa tidak percaya atau tidak mahu menerima, lantas segala kebaikannya itu dibentangkan, hingga menutup kesalahan yang dilakukannya.

Letakkan sesuatu di tempatnya

Sepertinya masih ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak mampu meletakkan sesuatu itu di tempatnya apalagi situasi ‘critical thinking’ yang gagal didepani. The American Philosophical Association mendefinisikan pemikiran kritis sebagai proses
penghakiman kendiri yang bertujuan. Proses ini memberikan pertimbangan yang
munasabah terhadap bukti, konteks, konsep, kaedah dan kriteria. Pemikiran kritis ini juga
ditakrifkan secara luas sebagai ‘berfikir tentang berfikir.’

Dengan kata lainnya dalam situasi ini, membenarkan sesuatu kebenaran itu adalah benar
dan membenarkan bahawa sesuatu kesalahan itu adalah salah. Itulah yang dikatakan
meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Justeru, ketika orang yang baik itu melakukan kesalahan, tidak bermakna kebaikannya yang banyak itu dilupakan. Tetapi, di sini para pentaasub sering memainkan peranannya, dengan mengatakan, “Takkanlah dia yang baik itu akan buat begitu?”

Sedangkan jika ia meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, seseorang itu akan berusaha
menerima dan membenarkan kesalahan orang yang baik itu (setelah didapati bersalah) dan fokus menyelesaikan dengan memberi nasihat atau peringatan terhadap kesalahan yang dilakukan, bukan menafikannya. Realitinya dengan kecanggihan platform media yang ada kini, masih terdapat juga manusia yang lupa atau barangkali tidak ingat (dan perlu selalu diperingatkan) dengan menganggap bahawa sesuatu kesalahan itu tidak akan dilakukan oleh orang baik.

Tetapi perlu disedari, ketika orang baik membuat kesalahan, sebenarnya itu adalah satu
proses pengajaran besar bagi diri ketika mendepaninya, sama ada bertambah lebih baik
atau menjadi sebaliknya (nauzubillah). Memang bukan mudah jika harapan dan kepercayaan yang tinggi sudah dipasakkan kepada seseorang itu, apatah lagi ia dikenali dengan kebaikannya yang menggunung, sering dipaparkan di layar-layar dan di medium lainnya.

Namun, sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran, rakyat dan ahli masyarakat perlulah bersikap wajar lagi rasional ketika mengikuti isu yang dibicarakan. Perlulah disedari bahawa sebenarnya diam itu adalah solusi yang terbaik jika seseorang itu tidak mampu memberikan maklum balas yang sewajarnya dengan situasi. Jadilah kita sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 10 ini: “Orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Berani mengakui daripada terus berpersepsi

Boleh jadi tidak ramai orang yang bersikap sebegini. Adakala sudah larut isu sampai entah ke mana-mana, namun kata maaf atau pengakuan salahnya tidak juga muncul-muncul.

Bukankah mengakui kesalahan atau kesilapan yang dilakukan itu adalah lebih baik daripada terus membuka ruang kepada masyarakat menuding apatah lagi melabelkan bermacam kepada dirinya? Ya, memang hukan mudah.

Tambahan pula. ketika kata maaf disampaikan, maka akan berderulah tudingan netizen
yang tetap masih belum menerima keadaan yang berlaku. Ia boleh memberi tekanan dan
kesan kepada orang yang mengakui kesalahan itu.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 199: "Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan
orang-orang yang jahil."  Memang benar, agak mustahil seseorang itu tidak dapat melupakan kesalahan yang diperbuat orang lain kepadanya. Paling tidak, kata maaf itu disahut dengan sebaiknya agar tidak menjadi satu bebanan yang berat pada diri sendiri.

Refleksi diri selalu

Terdapat juga golongan manusia apabila diri atau kelompoknya mengatakan sesuatu yang
boleh mencetuskan ketegangan dengan orang lain, mereka anggap biasa sahaja.
Tetapi apabila orang lain atau sesuatu kumpulan itu berbuat demikian, hebohnya bukan
kepalang, bahkan tidak memberi ruang sedikit pun untuk berdamai. Tudingannya tiada henti dan laju sahaja.

Apatah lagi dalam soal hukum agama, terkadang mereka suka mengata itu ini, menjatuhkan hukum itu ini tanpa memikirkan hak orang lain. Bila dibalas, tiada kata penyesalan atau maaf. Maka, berulanglah lagi. Dan ketika pihak yang tidak bersamanya membuat seakan apa yang mereka perbuat, sigap sahaja menuding hingga mencetuskan ketidakamanan.

Hakikatnya, di sinilah perlunya kebijakan akal berfikir. Sering kita kata inginkan keharmonian, kedamaian, keamanan dan persefahaman, namun elemen-elemen baik dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya jarang diguna pakai. Ini tidak tertakluk kepada rakyat atau masyarakat sahaja, tetapi pemimpin tertinggi negara dan negeri juga perlulah berperanan baik ketika kondisi ini berlaku.

Sebagaimana foto menarik yang tular iaitu foto pemimpin parti pembangkang (PKR, DAP
dan Amanah) yang diundang ke pejabat Perdana Menteri semalam, betapa masih juga
terdapat pelbagai persepsi yang kurang enak dibaca. Walhal seharusnya sebagai rakyat dan pengikut parti tertentu itu perlu bersikap terbuka dan rasional menyambut baik ‘huluran’ tangan yang diberikan itu.

Memang bukan mudah hendak menerima sesuatu itu jika diri sendiri tidak kuat atau mampu memikirkan secara kritis. Namun, konsep berhati-hati tetaplah diutamakan agar tidak jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali.

Oleh yang demikian, berusahalah kita jadi orang yang berfikir agar tidak terlajak
mengatakan sesuatu yang bukan haknya, sebagaimana hadis riwayat Thabrani ini
memberikan pengajaran kepada kita.

“Mahukah aku ceritakan kepadamu mengenai sesuatu yang membuat Allah memuliakan
kedudukan dan meninggikan darjatmu?” Para sahabat menjawab; tentu. Rasul pun
bersabda, “Kamu harus bersikap sabar kepada orang yang membencimu, kemudian
memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang
memusuhimu dan juga menghubungi orang yang telah memutuskan silaturahim denganmu.”

Mampu atau tidak, jangan sampai kita tinggalkan semuanya. Berusahalah menjadi manusia yang hari ini lebih baik daripada semalam. Moga kita terus mendoakan agar Allah segera angkat musibah wabak ini dan negara ini menjadi negara rahmah yang diampuni Tuhan, baldatun thoyyibatun warabbun ghafur. Terus lakukan dan sebarkan kebaikan.

Atriza Umar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast