Mohamad Alamin

KOTA KINABALU –  Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin, yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dalam pentabiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan beliau dijangkiti COVID-19 dan tidak dapat hadir mengangkat sumpah jawatan itu petang ini.

Katanya, beliau sedang dirawat di Kuala Lumpur dan kesihatan dirinya stabil serta dalam keadaan yang baik.

“Minta semua doakanlah ya kesembuhan saya, insya-Allah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Seramai 31 menteri dan 37 timbalan menteri dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada pukul 2.30 petang ini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan Barisan Kabinet beliau. – MalaysiaGazette