Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Positif utama untuk ekonomi daripada barisan Kabinet yang baharu ialah pengekalan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

Ketua Ekonominya, Suhaimi Ilias berkata, pengekalan kedua-dua menteri itu menunjukkan bahawa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022 di Parlimen adalah mengikut jadual.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa RMK-12 dijangka dibentangkan di Parlimen pada 20 Sept, 2021 dengan Belanjawan 2022 pada 29 Okt, 2021.

“Di samping itu, persetujuan antara kerajaan dan pembangkang untuk bekerjasama dalam menangani pandemik dan pemulihan ekonomi akan dapat mengurangkan ketidakstabilan politik dan ketidaktentuan dasar, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan Kabinet yang baharu pada Jumaat lepas.

Selain Tengku Zafrul dan Mustapa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Penganalisis Maybank IB Anand Pathmakanthan berkata, walaupun tiada timbalan perdana menteri dinamakan dan kebanyakan menteri daripada pentadbiran sebelum ini mengekalkan jawatan mereka dalam Kabinet baharu, pasaran mengalu-alukan pelantikan semula teknokrat Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan, serta Khairy Jamaluddin, yang bertanggungjawab untuk usaha vaksinasi negara yang berjaya, sebagai Menteri Kesihatan.

“Kami mengekalkan kedudukan pasaran seimbang, melalui campuran nilai dan saham pertumbuhan serta tumpuan hasil yang berterusan,” katanya.

Mempunyai pandangan yang sama dengan Suhaimi dan Anand, penganalisis CGS-CIMB Securities Sdn Bhd Ivy Ng Lee Fang dan Nagulan Ravi berkata pembentangan RMK-12 dan Belanjawan 2022 akan menjadi tumpuan dalam kalangan pelabur, yang juga boleh menjadi positif untuk sektor pembinaan.

Kedua-duanya berkata penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.8 peratus pada minggu lepas berikutan pengumuman Kabinet, dijangka disebabkan optimisme terhadap kurangnya kemelut politik dalam tempoh terdekat selepas Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang dan berdasarkan kesinambungan dalam dasar.

“Bagi mengekalkan peningkatan, kami berpendapat pelabur mahu melihat bukti pemulihan aktiviti ekonomi, kadar vaksinasi yang lebih tinggi di negeri-negeri dengan peningkatan kes COVID-19 baharu dan lebih banyak negeri beralih kepada Fasa 3-5 Pelan Pemulihan Negara. Kami masih percaya pelabur dapat menempatkan dalam saham pemulihan pada Ogos dan September,” kata mereka. – MalaysiaGazette