Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pereka grafik mengalami kerugian RM8,300 selepas diperdaya dalam urusan menebus mata ganjaran dipercayai dari sebuah syarikat penerbangan pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang warga tempatan berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta selepas kehilangan wang dalam akaun bank secara atas talian.

“Dalam kejadian tersebut, pengadu telah dihubungi oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada sebuah syarikat penerbangan.

“Pemanggil telah memaklumkan bahawa terdapat mata ganjaran percuma atas nama pengadu yang boleh ditukarkan dengan wang tunai berjumlah RM750.

“Terpedaya dengan tawaran itu, pengadu telah memberikan butir-butir maklumat kad debit dan kad kredit untuk tujuan penebusan mata ganjaran berkenaan sebelum menerima makluman daripada pihak bank menyatakan terdapat beberapa transaksi telah berlaku melibatkan akaun pengadu berjumlah RM 8,300,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer (Capaian Tanpa Kuasa).

Justeru, Mohd Madihisham menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi serta maklumat perbankan kepada pihak yang tidak dikenali.

Katanya, sebarang maklumat jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan boleh disalurkan dengan menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette