Pihak polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian pada Selasa lalu.

PERAI – Polis kini sedang memburu seorang individu bagi membantu siasatan pecah pelapik skrin tiga mesin pengeluaran automatik (ATM) milik sebuah bank di Jalan Baru di sini hari ini.

Sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima aduan berhubung kejadian pukul 7 malam tadi.

Pihak polis dan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

MalaysiaGazette difahamkan kejadian berlaku di sebelah petang namun tidak diketahui oleh pihak pengurusan bank susulan hari ini cuti Hari Kemerdekaan dan mereka tidak beroperasi.

Pemeriksaan pihak polis dan forensik di lokasi kejadian mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan seorang individu dan pelapik skrin tiga buah mesin ATM itu dipecah menggunakan topi keledar.

Selain mendapatkan cap jari suspek, pihak forensik turut menemui serpihan penghadang muka (visor) topi keledar pada ruang mesin ATM bank berkenaan.

Pihak forensik sedang menimbulkan kesan cap jari di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Usaha mengesan suspek serta mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sedang dilakukan dan motif kejadian belum dikenal pasti ketika ini.

Antara pelapik skrin mesin ATM yang dirosakkan.

“Kita minta saksi kejadian serta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil atau hubungi balai polis terdekat bagi menyalurkan maklumat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat. – MalaysiaGazette