Dewan Rakyat Members of Parliament MP Speaker The government has agreed to advise Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah to hold the Third Term of 14th Parliament Sitting for five days from 26 until 29 July
Sidang khas Parlimen mengenai RUU Anti Lompat Parti bermula hari ini.

KUALA LUMPUR – Sidang penuh Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke -14 yang sepatutnya bermula 6 September telah ditunda kepada 13 September ini.

Perkara itu diketahui selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang memuat naik surat pemakluman di laman sosial masing-masing.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang memuat naik surat pemakluman di Facebooknya turut berharap ada penjelasan berhubung perkara itu.

“Saya berharap kerajaan dan barisan Kabinet dapat menjelaskan mengapa ia ditunda,” tulisnya ringkas.

Perkara sama turut dimaklumkan ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang turut memuat naik surat tersebut di laman Twitternya malam tadi.

Sidang Dewan Rakyat kali ini dilihat penting kerana menjadi medan penting untuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menguji keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Ini selaras dengan saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mahukan usul undi percaya perdana menteri dikemukakan dengan segera.

Malam tadi, Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi notisnya kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat memaklumkan penundaan tarikh sidang berkenaan.

Bagaimanapun, notis berkenaan tidak menyatakan sebab-sebab penangguhan.

“Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas dan Notis Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen ke-14 bertarikh 6 Ogos 2021 adalah berkaitan.

“Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen ke-14 yang dijadualkan pada Isnin, 6 September hingga Khamis, 30 September 2021 telah dipinda ke Isnin, 13 September hingga Khamis, 12 Oktober 2021,” kata notis tersebut.

Sebelum ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan sidang penuh Parlimen ke-14 akan diadakan selama 15 hari bermula 6 September ini. – MalaysiaGazette