Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Trend pemulihan ekonomi diunjur berterusan sehingga ke tahun 2022 dengan mengambil kira kira faktor-faktor yang menyokong pemulihan ekonomi bagi tahun 2021, khususnya pembukaan semula sektor ekonomi dan aktiviti sosial pada penghujung tahun dan permintaan luar yang terus kukuh.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia pada tahun 2022 berkembang sebanyak 6.0% manakala Bank Dunia pula sebanyak 5.0%, iaitu kembali kepada trend pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan dalam tempoh pra-pandemik.

Menurut Kenyataan Pra-Bajet (KPB) 2022, daripada sudut penawaran, sektor pekhidmatan dan pembuatan dijangka terus memacu pertumbuhan ekonomi berikutan normalisasi aktiviti ekonomi sejajar dengan kejayaan program vaksinasi kebangsaan.

KPB dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Di samping itu, pelaksanaan projek-projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi akan menyokong sentimen pelaburan.

Peningkatan permintaan luar yang berterusan serta pemulihan harga komoditi dijangka turut memacu aktiviti pengeluaran dalam semua sektor ekonomi.

Aktiviti ekonomi yang dijangka lebih cergas akan memulihkan sentimen pengguna berikutan prospek pendapatan yang semakin baik.

Oleh itu, pasaran buruh dijangka kembali pulih pada 2022 walaupun pada tahap yang lebih sederhana berbanding pra-pandemik, seiring dengan pembukaan semula sektor ekonomi berikutan pencapaian imuniti kelompok.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa risiko kepada prospek pertumbuhan ekonomi negara, iaitu antara lain kemunculan varian baharu Covid-19 yang boleh menjejaskan kapasiti sistem kesihatan dan memaksa kerajaan melanjutkan langkah kawalan pergerakan serta menangguhkan pembukaan sektor ekonomi, pemulihan pasaran buruh yang lebih perlahan serta ketidaktentuan dasar yang boleh menjejaskan sentimen pelaburan.

Dalam pada itu, menurut KPB, langkah-langkah pembendungan penularan wabak Covid-19 yang lebih ketat bagi melindungi nyawa rakyat dan memastikan sistem kesihatan tidak lumpuh menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi pada 2021.

Justeru, unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi keseluruhan tahun 2021 telah disemak semula kepada antara 3.0% hingga 4.0% seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 13 Ogos 2021 berbanding ramalan awal 6.0% hingga 7.5% pada Mac tahun ini.

Anggaran pertumbuhan ini berdasarkan jangkaan pembukaan semula semua sektor ekonomi dan sosial pada suku keempat berikutan kemajuan dan keberkesanan pelaksanaan program pemberian vaksin yang memberangsangkan.

Perkembangan yang baik ini dijangka mendorong sentimen positif dalam kalangan perniagaan dan pengguna. – MalaysiaGazette