Mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (kanan) serah tugas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid sambil diperhatikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhameed Yunus pada majlis serah tugas Menteri Pembangunan Luar Bandar di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KLPB), Putrajaya. Foto HAFIZ SOHAIMI,01 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah selesai membuat penilaian ke atas 40 kediaman di Yan dan Sik Kedah yang terjejas teruk dengan bencana kepala air pada bulan lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kos pembaikan rumah penduduk terjejas dianggarkan mencecah RM550,000 setakat ini.

“KPLB amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk di daerah Yan dan Sik, Kedah yang terjejas dengan bencana kepala air baru-baru ini.

“Bantuan baik pulih rumah ini merupakan sebahagian daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyediakan peruntukan sehingga RM3 juta bagi tujuan pembaikan rumah mangsa bencana.

“KPLB telah mengkoordinasikan Bahagian Kesejahteraan Rakyat dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk menyalurkan bantuan bagi meringankan beban penduduk terjejas akibat bencana tersebut,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Serah Tugas Menteri Pembangunan Luar Bandar di antara beliau dengan bekas menteri, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong; Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah.

Dalam pada itu, pihaknya dalam usaha mengenalpasti kerosakan dan keperluan pembaikan rumah mangsa terjejas.

“KEDA telah menyalurkan peruntukan berupa sumbangan kewangan kepada Kerajaan Negeri Kedah berjumlah RM10,000.

“Seramai 100 sukarelawan daripada Bantuan Skuad Prihatin KED turun sebanyak dua kali membantu membersihkan rumah yang terlibat dalam bencana,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya turut memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk bantuan barangan dan peralatan keperluan.

“KPLB akan memastikan peruntukan ini digunakan untuk meringankan beban kepada penduduk yang terlibat.

“Kementerian juga mengucapkan takziah kepada mangsa yang kehilangan ahli keluarga disebabkan bencana ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast