resignation resign Speaker of Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. Perikatan Nasional PN majority support Muhyiddin face mask MP Members of Parliament MPs
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Datuk Azhar Azizan Harun tidak membuat sebarang keputusan berhubung usul supaya beliau melepas jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Menerusi kenyataan beliau memaklumkan, pejabatnya menerima pemberitahuan usul-usul tersebut serta permintaan untuk melantik individu lain bagi menggantikan beliau.

“Sebaik sahaja pejabat saya menerima usul-usul tersebut, saya telah utuskan surat kepada kesemua pengusul bahawa saya tidak akan sama sekali membuat apa-apa keputusan mengenai semua usul tersebut kerana saya mempunyai percanggahan kepentingan (conflict of interest).

“Apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut diserahkan kepada Yang Berhormat Timbalan yang di-Pertua Dewan rakyat, YB Datuk Haji Mohd Rashid Hasnon,” katanya.

Menurut Azhar, beliau tidak pernah mengambil bahagian dalam apa cara sekalipun atau campurtangan di dalam apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut.

Malah katanya, beliau tidak tahu menahu mengenai apa-apa keputusan yang mungkin telah dibuat timbalannya mengenai usul-usul itu.

Azhar turut menafikan laporan sebuah agensi media yang mendakwa beliau telah menolak usul tersebut menganggapnya sebagai satu pembohongan dan fitnah dengan niat menjatuhkan reputasinya sebagai seorang Speaker Dewan Rakyat.

Tegasnya, beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara berkenaan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette