Reaksi ibu mangsa ragut dan samun Siti Nur Azizah Syafriadi, Roslinawati Ya ketika menerima lawatan daripadaMenteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun di Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI,02 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Remaja malang, Siti Nur Azizah Syafriadi, 17, yang terpaksa dipotong tangan kanannya sehingga paras bahu akibat kecederaan selepas disamun kini dapat menerima hakikat dirinya bukan lagi manusia normal.

Perkembangan terbaharu itu dikongsi ibu remaja berkenaan, Roslinawati Ya, 38.

Beliau berkata, dalam pertemuan di hospital semalam, anak sulung daripada lima beradik itu langsung tidak menangis apabila mengetahui dia sudah kehilangan sebelah tangan selepas diberitahu oleh jururawat.

Jelas ibu tunggal yang kematian suami pada 2018, Siti Nur Azizah cuma hanya bertanya mengapa tangannya dipotong tanpa dimaklumkan lebih awal.

“Dia langsung tidak menangis selepas dimaklumkan jururawat tangannya dipotong. Cuma dia ada tanya kenapa saya tidak beritahu sendiri kepadanya.

“Dia juga bertanya kenapa tidak tunggu dia sedar dulu sebelum tangannya dipotong. Saya cuma jawab dia tidak sedarkan diri dan tangan kanan perlu dipotong segera untuk selamatkannya nyawanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun di kediamannya di PPR Beringin, Kepong di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Rina memberikan sumbangan melalui Tabung Bantuan Segera (TBS) berjumlah RM300, bakul makanan selama enam bulan, tablet bagi pembelajaran empat adik mangsa dan sumbangan Bantuan Prihatin berjumlah RM1,000.

Beliau turut memberitahu, kementeriannya telah berbincang denga pengurusan pasar raya Mydin yang bersetuju menawarkan pekerjaan kepada Siti Nur Azizah apabila sembuh.

Pada masa sama, kata Rina, remaja malang itu juga akan diberi rawatan kaunseling dan intervensi untuk membantu emosi selepas menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU) selain sedia mempertimbangkan bantuan tangan palsu berdasarkan laporan doktor pakar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan) menyerahkan bantuan kepada ibu mangsa ragut dan samun Siti Nur Azizah Syafriadi, Roslinawati Ya (dua, kanan) di Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI,02 SEPTEMBER 2021.

Pada Khamis lalu, Siti Nur Azizah bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) selepas parah disamun tiga lelaki di Jalan Kuching.

Lebih menyedihkan tangan kanannya terpaksa dipotong sehingga paras bahu akibat kecederaan yang dialami.

Mengulas lanjut, Roslinawati berkata, selepas kematian suami, Siti Nur Azizah yang tidak lagi bersekolah membantu keluarganya dengan menjadi penghantar barang pada waktu petang hingga malam bersama seorang rakan lelaki yang turut disamun dalam insiden sama.

Jelas beliau, pada sebelah siang anak sulung itu membantunya berniaga secara dalam talian dengan menghantar parcel di syarikat penghantaran berdekatan rumah.

Menurutnya, dia dan Siti Nur Azizah berkongsi pendapatan untuk menyara keluarga bersama apabila pendapatan meniaganya yang diperolehi hanya sekitar RM400.

“Kami sama-sama mencari pendapatan tambahan kerana pencen penakat arwah suami RM1,000 sebulan.

“Selain itu, kami bersyukur kerana beban kos hidup dapat dikurangkan kerana Baitumal beri bantuan bulan RM450 dan bayar sewa rumah RM124 sebulan selepas kematian suami.

“Cuma kini saya hendak tengok muka pelaku anak saya dan kenapa mereka sanggup buat macam itu kepada dia,” katanya sebak.

Roslina turut memberitahu, Siti Nur Azizah selama ini tidak pernah bercerita mempunyai musuh selain insiden samun itu pertama kali berlaku sejak menjadi penghantar barang setahun yang lalu.

Pada masa sama, dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Rina yang prihatin dengan nasib yang menimpa anaknya.

Dia juga berbesar hati dengan tawaran guaman oleh Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak untuk membela nasib anaknya itu dan juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan serta menghulurkan sumbangan.

Sementara mereka yang ingin bertanya khabar atau memberi sumbangan kepada Bayhaqqi dan keluarga, boleh menghubungi talian 018-3115573.

Sumbangan pula boleh disalurkan kepada Maybank – 164249142976 (Roslinawati binti Ya). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast