Datuk Seri Sulaiman Md Ali Chief Minister Melaka PPN Phase 2 National Recover Plan
Datuk Seri Sulaiman Md Ali

MELAKA – Kira-kira 58.11 peratus rakyat di Melaka telah lengkap dua dos vaksin, sekali gus membuka peluang kepada negeri berkenaan untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata berdasarkan data terkini Laporan Vaksinasi Harian Negeri Melaka pada Isnin lepas, bilangan populasi dewasa di negeri berkenaan yang telah menerima vaksinasi lengkap dua dos adalah seramai 393,607 orang daripada keseluruhan 677,400 orang yang layak.

“Keputusan untuk beralih ke Fasa Dua PPN akan diputuskan menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini,” katanya pada segmen Bicara Ketua Menteri di Melaka.fm di sini hari ini.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini menetapkan nilai ambang baharu bagi peralihan fasa di bawah PPN untuk negeri dalam fasa satu yang telah mencapai kadar vaksinasi, sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata Melaka mengalami kekurangan bekalan vaksin pada bulan lepas sekali gus menjejaskan usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 50 peratus vaksinasi lengkap dua dos lebih awal.

Beliau berkata Melaka sepatutnya menerima sebanyak 78,000 dos vaksin namun bekalan yang diterima adalah sebanyak 52,000, sekali gus merencatkan program vaksinasi di negeri berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri kini sedang giat mempercepatkan pemberian vaksin kepada golongan peniaga menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) serta kerjasama swasta bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

— BERNAMA