KUALA LUMPUR – Penyebaran video mengenai seorang pesakit didakwa jatuh sebelum meninggal dunia di sebuah hospital di Kedah baru-baru ini tidak menggambarkan situasi sebenar pengorbanan petugas perubatan yang merawat pesakit Covid-19.
Dakwaan itu sukar dipercayai kerana tiada doktor mahu pun jururawat sanggup membiarkan pesakitnya meninggal dunia sebelum mendapat rawatan sewajarnya.
Berikutan itu, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan bagi merungkai kejadian kes itu.
“Sebagai seorang bekas pesakit Covid-19 tahap 4 yang telah pulih, saya tetap mempertahankan semua doktor dan jururawat yang telah bertungkus-lumus berjuang membantu pesakit Covid-19 untuk pulih.
“Saya berharap pihak polis dapat menyiasat kejadian ini secara terperinci,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Isnin lalu, tular video berdurasi 37 saat memaparkan pesakit lelaki berusia 60-an terjatuh di lantai sebelum meninggal dunia di Hospital Lama, Sungai Petani, Kedah didakwa berlaku akibat kecuaian doktor dan jururawat.
Video dimuat naik seorang pengguna Facebook menunjukkan pesakit terbabit yang memakai kain tanpa baju, berjalan dalam keadaan lemah sebelum dia terjatuh.
Dalam pada itu, Zulkarnain meragui dakwaan pengguna Facebook yang menularkan video tersebut sedangkan beliau sendiri melihat kesungguhan dan dedikasi petugas perubatan ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth (1) Kota Kinabalu, Sabah dan dibenarkan pulang pada 28 Ogos lalu.
“Walaupun pasukan doktor dan jururawat dilihat amat keletihan, namun mereka menyembuyikannya daripada pesakit.
“Setiap wad dihuni oleh hampir 40 pesakit dan hampir setiap jam doktor dan jururawat akan memeriksa keadaan pesakit, kadar oksigen, tekanan darah, jantung, kandungan gula termasuk memberi ubat-ubatan.
“Ada diantara pesakit yang langsung tidak boleh bergerak dengan sendiri, buang air besar dan kencing juga turut dibantu oleh jururawat dengan sikap sabar yang amat tinggi,” katanya.
Katanya lagi, dakwaan kononnya petugas perubatan sebuah hospital itu hampir tidak masuk akal sedangkan mereka sentiasa memberi bantuan sejak Covid-19 melanda negara, lebih setahun lalu.
“Selain merawat pesakit doktor dan jururawat juga dilihat hampir setiap masa membantu memberi penerangan kepada keluarga pesakit termasuk memberikan suntikan motivasi melalui telefon.
“Ini adalah keadaan sebenar bebanan kerja yang terpaksa ditanggung oleh doktor dan jururawat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette