Lebih 1,000 warga Afghanistan dibawa keluar oleh Poland. foto Reuters

WARSAW – Seorang kanak-kanak lelaki Afghanistan yang dibawa keluar dari Kabul setelah pengambilalihan Taliban meninggal dunia di Poland setelah memakan cendawan beracun.

Manakala saudaranya, berusia enam tahun yang turut memakan cendawan tersebut telah menjalani pemindahan hati tetapi masih dalam keadaan kritikal, kata seorang doktor.

Mangsa tinggal di pusat pelarian berhampiran Warsaw setelah tiba di Poland bersama keluarga pada 23 Ogos.

Mereka makan cendawan sehari kemudian dan dikejarkan ke hospital.

“Sayangnya, kami tidak dapat menolong kedua-dua kanak-kanak lelaki itu,” kata pengarah hospital, Dr Marek Migdal, yang mengesahkan kematian budak lelaki berusia lima tahun itu.

Kanak-kanak yang meninggal dunia itu mengalami kerosakan otak yang tidak dapat dipulihkan dan tidak dapat melakukan pemindahan hati, tidak seperti saudaranya.

Seorang remaja perempuan Afghanistan berusia 17 tahun turut menerima rawatan selepas makan cendawan yang sama namun dibenarkan keluar hospital selepas sembuh.

Kes racun itu sedang disiasat.

Media tempatan melaporkan keluarga terbabit telah memetik cendawan dari kawasan hutan berhampiran dan dijadikan sup.

Bagaimanapun pihak berkuasa menafikan laporan media bahawa pelarian memilih dan memakan cendawan itu kerana mereka tidak diberi makanan yang mencukupi.

“Mereka diberi makan “tiga kali sehari”, kata Jakub Dudziak, jurucakap Pejabat Warga Asing, yang berurusan dengan pelarianAfghanistan di Poland.

Malah, katanya, kakitangan pusat pelarian itu telah diarahkan untuk memberi amaran kepada warga Afghanistan agar tidak memakan cendawan liar.

Kerajaan Poland berkata, terdapat 250 spesis cendawan di negara ini, termasuk beberapa didapati boleh membawa maut jika dimakan.

Poland membawa keluar lebih 1,000 warga Afghanistan yang berkerja dengan tentara NATO selepas Taliban menguasai semula negara itu. – Reuters