JOHOR BARU – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Johor yang semakin diperluas perlu mengambil kira beberapa kelompok termasuk tanpa kewarganegaraan atau pelarian.
Bendahari Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, kelompok ini harus diberi keutamaan untuk memastikan tidak ada yang ketinggalan dalam program vaksinasi ini.
“Mereka yang dianggap tanpa kewarganegaraan ini adalah yang lahir di Malaysia tetapi tidak mempunyai dokumentasi sah seperti sijil kelahiran atau Mykad untuk membuktikannya.
“Bagi kelompok pelarian, Johor mempunyai komuniti Rohingya yang cukup besar tinggal di sebahagian kawasan dalam Johor Bahru dan Kulai,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kerajaan tidak boleh hanya menumpukan kepada rakyat Malaysia atau pekerja yang sah sebaliknya kelompok-kelompok perlu diberi perhatian.
“Tanpa Mykad atau sijil kelahiran yang sah, seseorang tidak boleh memperolehi talian telefon bimbit untuk mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera untuk tujuan divaksinasi.
“Apa yang akan berlaku kepada orang-orang seperti ini”
“Bagi masyarakat Rohingya, kebanyakan mereka adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan pada masa ini melakukan pekerjaan rencam untuk mencari nafkah.
“Dengan jumlah peningkatan kes Covid-19 di Johor, kerajaan harus pertimbangkan untuk bekerjasama dengan UNHCR agar mereka diberi vaksin kerana tidak mahu virus ini menyebar dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Md Jais yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Kluang berkata, ujian pengesanan Covid-19 juga perlu dilakukan secara kerap.
“Ada keperluan untuk mengambil lebih banyak langkah berjaga-jaga terutama dengan varian-varian yang mudah berjangkit seperti Varian Delta.
“Dengan cara ini, dapat mempertingkatkan pengesanan kontak rapat dan proses pengasingan masyarakat setempat seterusnya dapat menangani wabak ini di Johor.
“Sebelum ini, Johor mempunyai 1,000 lebih kes setiap hari tetapi sekarang jumlah kes meningkat kepada lebih dari 2,000 kes sehari,” katanya.