Datuk Dr. Aminuddin Hassim

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meminta waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia akibat virus itu supaya memohon Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 daripada Tabung Covid-19.

Setakat ini hanya 4,311 waris atau kira-kira 25.07 peratus yang memohon untuk bantuan khas itu berbanding korban Covid-19 dicatatkan semalam keseluruhannya 17,191 kematian.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, permohonan untuk bantuan itu adalah rendah.

“Setakat ini kematian akibat Covid-19 mencatatkan sebanyak 17,191 kes (data semalam). Hanya 4,311 waris yang menghantar permohonan untuk Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19.

“Maksudnya ada 12,880 (74.93 peratus) waris lagi yang belum hantar permohonan. Jadi Nadma menyeru kepada waris supaya membuat dan menghantar permohonan untuk bantuan yang sudah disediakan ini, kepada warganegara sahaja.

“Saya dimaklumkan ada juga waris yang merasakan tak perlu memohon bantuan ini sebab ahli keluarganya yang meninggal dunia (akibat Covid-19) di hospital, diuruskan kemudian dihantar oleh ambulans atau pun aset kerajaan hingga dikebumikan dengan tiada kos yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media media secara maya bertajuk Tabung Covid-19, Anda Tanya Nadma Jawab menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Tabung Covid-19 dilancarkan pada 11 Mac 2020 untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan virus pandemik itu di negara ini.

Dana Tabung Covid-19 adalah sumbangan daripada kerajaan, institusi Diraja, anggota pentadbiran, badan korporat dan sumbangan individu-individu prihatin yang disalurkan kepada pemohon Bantuan Khas Hilang Pendapatan dan Bantuan Khas Pengurusan Kematian.

Mengulas lanjut, Dr Aminuddin berkata, bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 sebanyak RM16.2 juta sudah disalurkan membabitkan 3,235 waris.

“Sementara, sebanyak RM22.2 juta Bantuan Khas Covid-19 sudah disalurkan yang membabitkan 16,722 pemohon. Ini insentif bantuan RM100 sehari bagi pesakit atau kontak rapat yang terpaksa menjalani kuarantin dan terjejas punca pendapatan.

“Apa pun, secara keseluruhannya permohonan adalah sangat kecil berbanding jumlah kes baharu serta kematian harian yang dicatatkan dalam negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast