Pemandu Myvi kelabu yang membawa kenderaan melawan arus di Lebuhraya MAX, berhampiran Seri Kembangan yang tular hari ini.

KUALA LUMPUR – Pemandu Perodua Myvi kelabu yang sedang diburu polis kerana memandu melawan arus di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) yang tular di media sosial hari ini telah terlibat dalam satu kemalangan.

Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta lain yang cuba mengelaknya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dari arah Wangsa Maju menghala ke arah Putrajaya dipandu secara melawan arus.

“Tindakan pemandu yang memandu secara melawan arus mengakibatkan kemalangan kepada sebuah kereta Proton Wira yang sedang memandu di laluan yang sama dan cuba mengelak kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengesahkan bahawa pemandu yang cuba mengelak lalu menghadapi kemalangan dilanggar kereta Myvi suspek lawan arus itu telah membuat laporan polis tentang kejadian itu.

Rentetan insiden itu, polis memohon kerjasama pemilik akaun twitter Fareez Azman (@FareezAzmann) yang memuat naik video itu dan orang ramai yang telah melihat kejadian tampil ke Balai JSPT Kuala Lumpur di sini bagi membantu polis bagi mengesan dan menjejaki pemandu Myvi berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Myvi lawan arus di Lebuh Raya Mex 

Terdahulu Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A. Anbalagan dalam kenyataan lewat petang hari ini menyatakan polis sedang mengesan pemandu Myvi berkenaan berikutan tindakan berbahaya yang memandu secara melawan arus di Lebuhraya MEX.

Pihaknya telah menerima laporan oleh anggota Kaunter Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pukul 1.16 tengah hari selepas mengesan rakaman video berkenaan.

“Hasil semakan pada kamera litar tertutup di Plaza Tol Mex Seri Kembangan juga mendapati pemandu terbabit membawa Myvi melawan arus bermula dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan,” katanya.

Tambah Anbalagan, siasatan lanjut masih sedang dijalankan polis dan kita sedang mengesan pemandu terbabit untuk tindakan lanjut.-MalaysiaGazette