Datuk Seri Mahdzir Khalid full boarding school MARA Junior Science College MRSM Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar Perak punching bag bully bullies
Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dikekalkan dan cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan digunapakai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat ‘Keluarga Malaysia’.

“Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon.

“Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan kepada Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan STEM serta Keperibadian pelajar,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Pelitawanis TNB di Hospital Kuala Nerang, Kedah, hari
ini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut berkata, dasar 10 peratus pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Jelas beliau, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi yang diterapkan MRSM, telah menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar sangat tinggi.

“Kita berterima kasih kepada masyarakat di luar sana yang memberikan pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi Sistem Pendidikan yang ada di MRSM,” ujarnya.

MRSM menurutnya, hanya mampu menampung sejumlah 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan.

Berbanding permohonan yang diterima berjumlah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat untuk sesi kemasukan 2021.

Tambah Mahdzir, dasar MARA mensasarkan untuk menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.

“Sistem Pendidikan MRSM adalah bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar bumiputera yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan”.

“Sistem Pendidikan MRSM juga sedikit berbeza dengan sistem pendidikan lain dari aspek kemampuan kognitif dan sahsiah pelajar,” katanya.

MRSM mengumpulkan pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi selari dengan ciri-ciri Saintifik, Independen, Kreatif, Amanah dan Patriotik (SIKAP)

Untuk rekod, bilangan MRSM di seluruh negara adalah 55 buah dan mampu menampung 37,198 pelajar. – MalaysiaGazette

MRSM patut buka peluang kepada pelajar SABK, SRAI