Md Kamal (tengah) menyaksikan penyampaian sumbangan bakul makanan oleh Hafiz (kanan) kepada salah seorang wakil surau di sekitar Kluang.

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengagihkan sebanyak 200 bakul makanan kepada penduduk di sekitar daerah Kluang, Johor.

LHDNM dalam kenyataannya memaklumkan, bakul makanan itu diserah menerusi Program CSR Hasil Prihatin.

“Bakul-bakul makanan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Cawangan LHDNM Kluang, Hafiz Adnan kepada wakil-wakil masjid dan surau untuk diedarkan khusus kepada para penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara masjid dan surau yang terlibat ialah Masjid Jamek Kampung Tengah; Masjid Nurul Iman, Taman Sri Lambak; Surau Taman Pelangi, Surau Al-Ghaffur, Bandar Kluang; Masjid Jamek Kampung Bentong; Masjid Kampung Sri Lalang; Surau Al-Ukhuwah, Kampung Palembang Lama dan Surau Al-Muhajirin, Bandar Seri Impian.

Masjid dan surau lain yang turut menerima agihan tersebut adalah Surau Riyadhu Al Muttaqin, Taman Kluang Indah, Surau Al-Amin, Jalan Sawi Kluang; Surau Jalan Omar, Bandar Kluang; Masjid Taman Delima; Masjid Jamek Al-Yahya, Taman Kluang Barat; Masjid Jamek Taman Kasih; Masjid Al-Ikram, Taman Sri Kluang serta Surau Nurul Hidayah, Taman Intan.

Tambah kenyataan itu lagi, sebagai sebuah agensi kerajaan yang prihatin, LHDNM menerusi Program CSR Hasil Prihatin akan terus menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan asas rakyat yang kurang berkemampuan di seluruh negara.

Sehingga hari ini katanya, sebanyak 6,070 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette