Pengarah Urusan Madbean Sdn. Bhd., Mohd. Taufik Khairuddin ketika ditemubual di The Place @ Cyberjaya, Jalan Teknokrat 1/1, Cyberjaya. FOTO FARHAN MAHAMAD, 02 SEPTEMBER 2021.

CYBERJAYA – Setiap usaha yang gigih tanpa jemu pasti ada hasilnya. Namun perlu diakui, berdepan pergelutan di era pandemik Covid-19 ini bukan mudah sebenarnya untuk kekal bertahan dalam bisnes.

Salah langkah dan percaturan boleh terus menjerat diri. Malah banyak syarikat perniagaan mahu pun persendirian yang gulung tikar apabila tidak mampu meneruskan survival.

Hakikatnya itulah realiti yang terjadi ketika dunia diuji dengan virus merbahaya itu.

Namun bagi Mohd. Taufik Khairuddin, dia sendiri bukan sahaja tidak sangka dapat bertahan dalam bisnes sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu malah jualan produknya turut melonjak ke tahap luar biasa.

Pengarah Urusan Madbean Sdn. Bhd. (Madbean) itu berkata, syarikatnya yang mengeluarkan produk makanan hanya mencatat jualan RM100,000 sebulan pada awal operasi dua tahun lalu.

Namun kata usahawan berusia 30 tahun ini, jualan syarikatnya naik mendadak sehingga permintaan tidak dapat dipenuhi bermula pertengahan lalu di sebalik pelaksanaan PKP di negara ini.

Antara produk makanan Madbean Sdn. Bhd di The Place @ Cyberjaya, Jalan Teknokrat 1/1, Cyberjaya. FOTO FARHAN MAHAMAD, 02 SEPTEMBER 2021.

Ketika ini katanya, rangkaian produknya seperti Mellow, Viscoff, The Vanilla Bean dan Thachos mencatat jualan RM2 juta sebulan pada bulan lalu.

“Kami bermula dengan satu kilang dan kini Madbean memiliki enam kilang manakala seramai 150 kakitanganberbanding lapan orang pada awal operasi dulu.

“Lebih membanggakan, kami juga mempunyai 32 rakan kongsi berbanding lima rakan kongsi selain 12,000 ejen ketika ini berbanding 300 ejen sebelum ini.

“Justeru, Madbean yakin mencapai sasaran 20,000 ejen pada akhir 2022 dengan pendapatan mereka antara RM3,000 ke RM5,000 sebulan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Mohd. Taufik Khairuddin berjaya miliki lebih 12,000 ejen sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ketika ditemubual di The Place @ Cyberjaya, Jalan Teknokrat 1/1, Cyberjaya. FOTO FARHAN MAHAMAD, 02 SEPTEMBER 2021.

Berkongsi rahsia kejayaan syarikatnya, Mohd. Taufik memberitahu, niat ingin membantu orang lain menjadi antara faktor utama dia mencapai kejayaan pada hari ini.

Jelas bekas kakitangan Rayani Air itu, selain melakukan kerja amal hasil daripada rezeki yang diperolehi, kebajikan ejen juga menjadi keutamaan dengan memberi penghargaan kepada mereka yang membuat jualan tertinggi.

Malah katanya, dia juga membuka peluang pekerjaan kepada rakan-rakannya daripada industri penerbangan yang hilang pendapatan sejak PKP bermula tahun lalu.

“Selain ejen sistem, kami juga menggunakan konsep pemasaran menerusi 500 influencer dalam membina jenama Madbean kepada pengguna akhir.

“Pada masa sama, kami juga merancang untuk mengembangkan pasaran produk di luar negara di mana ketika ini Singapura dan Brunei sudah berjaya ditembusi.

“Dalam masa terdekat, Madbean akan memasuki pasaran Indonesia cuma kekangan yang dihadapi adalah larangan rentas negara walaupun perbincangan sudah dilakukan,” katanya.

Mohd. Taufik Khairuddin (kanan) bersama Ketua Pemasaran Madbean Sdn. Bhd., Hanif Jamaluddin ketika ditemubual di The Place @ Cyberjaya, Jalan Teknokrat 1/1, Cyberjaya. FOTO FARHAN MAHAMAD, 02 SEPTEMBER 2021.

Mohd. Taufik turut menasihati usahawan lain yang terkesan dengan PKP agar tidak risau dengan senario yang dihadapi sebaliknya mengambil peluang untuk bertukar bidang.

Tambahnya, bidang makanan dan minuman adalah pilihan terbaik untuk diceburi ketika negara berdepan pandemik.

“Saya juga dulu pernah ceburi bidang lain seperti kek, kosmetik dan feysen dan namun memberani diri mencuba bidang lain.

“Bagi saya bidang makanan dan minuman paling sesuai kerana masyarakat perlu mengisi perut walaupun apa juga keadaan yang lalui setiap hari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast