Douglas Uggah Embas

KUCHING – Vaksinasi COVID-19 bagi remaja berusia bawah 18 tahun di Sarawak dijangka akan bermula Rabu ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata ketika ini negeri itu di peringkat akhir melaksanakan persiapan untuk melaksanakan vaksinasi kumpulan berkenaan.

“Sekarang kita sedang membuat persiapan untuk melaksanakan program ini susulan pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam bahawa program yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu akan dimulakan di Sarawak pada Rabu ini.

“Ini kerana Sarawak sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya telah  divaksin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Uggah berkata setelah persiapan selesai, pengumuman secara terperinci berkaitan pelaksanaan proses vaksinasi itu akan dilakukan.

Sementara itu, Uggah sekali lagi merayu kepada sebilangan kecil rakyat Sarawak yang menolak atau masih enggan disuntik vaksin agar berbuat demikian secepat mungkin.

Beliau berkata, selagi ada individu yang tidak divaksin, mereka bukan sahaja akan membahayakan diri sendiri malah orang lain di sekeliling.

“Lebih-lebih lagi sekarang, terdapat banyak kes positif dan varian Delta yang lebih mudah berjangkit,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast