KUALA LUMPUR – Institusi kewangan pembangunan (DFI) disaran merangka penyelesaian yang praktikal seperti penggunaan kriteria pembiayaan yang kurang membebankan untuk membolehkan perniagaan kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin.
Cadangan penyelesaian ini juga akan dipertimbangkan di dalam merangka Bajet 2022, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Menurutnya, DFI memainkan peranan yang strategik dan penting dalam usaha negara memulih dan memelihara kapasiti perniagaan yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan menyokong kehidupan rakyat Malaysia.
”Sehubungan itu dan sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia, saya ingin menyarankan agar DFI memberi sokongan penuh kepada negara di dalam tempoh pemulihan ini, terutama sekali kerana objektif DFI adalah untuk membantu membangunkan sosio-ekonomi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, sokongan segera itu contohnya dari segi pembiayaan – perlu diberi bagi menghindari impak ekonomi jangka panjang terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana di dalam sektor-sektor strategik termasuk sektor pelancongan, peruncitan, pertanian, infrastruktur, maritim, eksport serta industri berteknologi tinggi dan bermodal intensif. – MalaysiaGazette