Sebanyak lapan kematian diakibatkan oleh Covid-19 setakat semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kekurangan bahan mentah dan had pekerja yang dikenakan telah menyebabkan pengeluaran keranda berkurangan sedangkan permintaannya meningkat disebabkan kematian yang disebabkan COVID-19.

China Press melaporkan, walaupun keadaan wabak di Lembah Klang kelihatan bertambah baik, tetapi negeri-negeri lain menunjukkan trend berlainan.

Di negeri-negeri di utara Semenanjung, kekurangan keranda telah berlaku agak lama, walaupun keadaannya bertambah baik sejak akhir Ogos apabila kawalan pergerakan dilonggarkan.

Menurut seorang pembuat keranda di utara Semenanjung, walaupun kawalan operasi kilang keranda dilonggarkan, tetapi mereka masih memerlukan dua bulan untuk menyiapkan tempahan berbanding satu bulan dalam keadaan biasa.

“Kilang keranda masih berdepan kawalan tertentu termasuk dari segi jumlah pekerja yang dibenarkan bertugas pada satu-satu hari.

“Selain itu, kami juga berdepan masalah bekalan kayu kerana sektor tersebut hanya dibenarkan beroperasi semula baru-baru ini.

“Sesetengah kayu juga perlu dijemur selama beberapa bulan sebelum boleh digunakan, jadi bekalan telah terjejas,” kata pembuat keranda itu yang menjangkakan penawaran hanya akan kembali normal pada November.

Katanya, banyak kilang yang mana pekerja belum menerima vaksinasi penuh hanya dibenarkan mempunyai 60 peratus pekerja bertugas.

Menurutnya, kilangnya dalam keadaan biasa boleh menghasilkan 1,500 buah keranda sebulan, tetapi jumlah itu menurun 50 peratus disebabkan kekangan dari segi pekerja dan bekalan bahan mentah.

Seorang lagi pengeluar keranda pula memberitahu, kekurangan yang berlaku mempunyai kaitan langsung dengan masalah membabitkan sektor perkayuan.

“Walaupun kilang kayu sudah dibenarkan beroperasi, tetapi meraka perlu tutup jika terdapat kes COVID-19.

“Keadaan ini akan menjejaskan bekalan kayu kepada syarikat pembuatan keranda,” katanya. – MalaysiaGazette