Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob making a virtual monitoring on the Bantuan Khas Covid-19 (BKC) cash aid payment.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob making a virtual monitoring on the Bantuan Khas Covid-19 (BKC) cash aid payment. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat tinjauan secara maya hari pertama pembayaran Bantuan Khas Covid. - Foto Facebook Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan akan mempermudah segala urusan pengagihan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) khususnya kepada masyarakat pedalaman dengan pembayaran tunai kepada mereka yang tidak memiliki akaun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara itu selepas meninjau secara maya proses pembayaran BKC fasa satu, yang dilaksanakan secara berperingkat menerusi institusi kewangan terpilih.

“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ‘Keluarga Malaysia’ yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Saya berkesempatan bertanya khabar dengan penerima BKC di beberapa cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) termasuk di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis dan Johor secara dalam talian untuk memastikan proses pembayaran bantuan itu berjalan lancar,” katanya seperti yang dipetik menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau juga turut mendapatkan laporan secara langsung daripada Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Sri Utama Zafrul Tengku Aziz yang turun padang meninjau sendiri proses pembayaran di BSN Putrajaya, manakala timbalannya, Mohd Shahar Abdullah berada di BSN Triang, Pahang.

Semalam Ismail Sabri mengumumkan pengagihan BKC fasa satu yang bermula hari ini diharap mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Dana berjumlah RM3.1 bilion telah pun disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.

BKC akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang memfokuskan kumpulan sasar terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.

Kerajaan kini melaksanakan rangsangan ekonomi rakyat dan negara melalui inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). – MalaysiaGazette