R. Vidyananthan
ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 18 kes kematian akibat Covid-19 membabitkan ibu hamil, dilaporkan di negeri ini sehingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor,  R Vidyananthan berkata, untuk itu kerajaan akan meningkatkan pemantauan terhadap ibu hamil, termasuk menggalakkan mereka mendapatkan vaksinasi.
“Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), angka ibu hamil di Johor yang telah menerima satu dos adalah seramai 30,000 orang.
“Manakala seramai 9,177 lagi sudah lengkap dua dos,” katanya ketika membuat penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.
Sementara itu, Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, kemunculan Variant of Concern (VOC) di Johor menyumbang kepada bilangan peningkatan kes.
Sehingga Ahad lalu, sebanyak 19 kes Delta VOC dilaporkan di negeri ini.
“Sememangnya agak membimbangkan melihat kepada  kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi di Johor iaitu 10.9 peratus daripada jumlah kematian seluruh Malaysia.
“Kematian akibat Covid-19 kebanyakannya berlaku dalam kalangan golongan rentan iaitu warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi dengan faktor penyumbang utama  kepada kematian adalah kelewatan mendapatkan rawatan,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang meneliti keperluan bagi membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di zon utara Johor iaitu di Batu Pahat.
Ini bertujuan menampung peningkatan kes di bahagian zon utara Johor.
Katanya lagi, sehingga kini, terdapat tiga PKRC awam di Johor iaitu PKRC Stadium Pasir Gudang, PKRC Olive B dan PKRC Sri Danga, melibatkan jumlah keseluruhan katil sebanyak 2,156.
“Berdasarkan data pada 5 September lalu, seramai 1,597 pesakit sedang dirawat di tiga PKRC berkenaan, dengan kadar penggunaan katil secara purata adalah sebanyak 74 peratus.
“Sehingga kini, terdapat 27,179 pesakit telah dimasukkan ke PKRC awam  terbabit.
“Terdapat juga sebuah PKRC Swasta iaitu di DB Kompleks Iskandar Puteri yang  mempunyai kapasiti sebanyak 1200 katil, yang mana 9,597 pesakit telah dirawat di PKRC swasta ini,” katanya.
Sementara itu, Vidyananthan berkata,  sebanyak 28,768 kes atau 20 peratus kes sporadik dilaporkan daripada keseluruhan 138,647 kes Covid-19 di Johor, sehingga Ogos lalu.-MalaysiaGazette