Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyampaikan surat tawaran biasiswa melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah serta surat tawaran jawatan pensyarah universiti di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan kepada atlet berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjung Malim. (Foto: UPSI)

IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menyerahkan surat tawaran biasiswa melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Dalam satu sesi ringkas yang diadakan di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di Tanjung Malim, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff turut menyampaikan surat tawaran jawatan pensyarah universiti di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan kepada Azizulhasni.

Menurut Md Amin, tawaran berkenaan adalah penghargaan pihak UPSI atas pencapaian cemerlang atlet berbasikal negara itu yang meraih pingat perak untuk negara dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos lepas.

Beliau berkata Azizulhasni dipelawa melanjutkan pengajian pasca siswazah dengan tajaan Biasiswa Bitara Pasca Siswazah peringkat Sarjana selama dua tahun bernilai RM42,225  atau Doktor Falsafah selama tiga tahun bernilai RM103,700.

“Penawaran insentif kecemerlangan itu ditawarkan secara terbuka bermula 1 Sept 2021 hingga 31 Dis 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Md Amin berkata tawaran itu membolehkan Azizulhasni memberi fokus dan tumpuan untuk meraih pingat emas pertama negara di Olimpik Paris pada 2024.

Sementara itu, Azizulhasni berkata beliau teruja dengan segala kemudahan sukan yang ada di UPSI Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah kerana ia memberi manfaat terhadap kemajuan sukan bukan sahaja untuk mahasiswa UPSI malah masyarakat sekitar dan penggiat sukan seluruh negara.

Sejurus tamat sesi penyerahan surat tawaran, Azizulhasni dibawa melawat Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI Sport City seterusnya disusuli sesi perkongsian pengalaman kejayaan dalam bidang sukan, “From Zero To Hero” secara dalam talian anjuran Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan dan Persatuan Sains Sukan.

Antara kisah yang memberi inspirasi ialah bagaimana kesungguhannya untuk bersaing dalam sukan dipelopori oleh masyarakat Eropah yang mempunyai kelebihan fizikal dan petua kejayaan 4D, iaitu  disiplin, determination (keazaman), dedikasi dan direction (hala tuju) yang menjadi pegangan beliau.

— BERNAMA