Brazil membalas dendam ke atas kelab-kelab Epl yang menyekat pemainya menyertai perlawanan antarabangsa apabila menggunakan FIFA menggantung kesemua pemain berkenaan daripada beraksi dalam EPL dan liga Juara Eropah sehingga 14 September ini.Gambar Kredit: DailyMail.com

LONDON – Seramai 10 pemain bola sepak dari Amerika Selatan dari beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) telah digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

Keputusan mengejut itu dikenakan oleh badan kawal selia bola sepak sedunia itu dilihat sebagai tindakan membalas dendam negara-negara Amerika Selatan ke atas kelab-kelab bola sepak elit Liga England itu yang menyekat pemain-pemain berkenaan daripada menyertai skuad kebangsaan untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 minggu ini.

Liverpool, Manchester United , Manchester City dan Chelsea antara kelab elit EPL yang menerima tempias teruk daripada FIFA akibat perbuatan mereka yang tidak membenarkan pemain menyertai tugas antarabangsa bersama negara asal mereka.

Persatuan Bola Sepak Brazil mendahului negara-negara Amerika Selatan untuk membalas dendam kelab EPL yang menghalang pemain mereka daripada pergi ke negara ‘senarai merah’ yang ditetapkan United Kingdom.

Dengan penggantungan FIFA itu, 10 pemain Ameriak Selatan tidak boleh beraksi bersama kelab mereka dalam perlawanan EPL minggu ini dan juga aksi liga antarabangsa dalam Eropah.

Berita itu dikatakan memberi satu tamparan kepada kelab-kelab elit berkenaan dan dengan penggantungan itu, Liverpool akan kehilangan khidmat tiga pemain Brazil mereka iaitu Alisson, Fabinho dan Roberto Firmino dalam aksi EPL menentang Leeds United Ahad ini dan begitu juga Raphinha untuk Leeds.

Malah untuk Manchester United, Fred merupakan pemain yang turut digantung FIFA daripada beraksi dalam perlawanan berdepan Newcastle United dan juga aksi pembukaan kumpulan Liga Juara-Juara Eropah menentang Young Boys pada malam Selasa depan.

Manchester City satu lagi kelab elit yang menerima tempias FIFA dan akan kehilangan khidmat Ederson, Gabriel Jesus menentang Leicester City pada Sabtu ini manakala Chelsea juga terkesan dan akan kehilangan pemain Thiago Silva dalam dua aksi berdepan Aston Villa dan Zenit St Petersburg.

Bagaimanapun, laporan terbaharu di London mendakwa kelab-kelab EPL yang terbabit mahu mencabar keputusan yang dikenakan FIFA itu.

Mereka percaya penggantungan itu tidak mempunyai asas yang kukuh ke atas kelab yang terpaksa mengambil langkah keselamatan Covid-19 dengan melindungi pemain meninggalkan negara.

Peraturan FIFA itu adalah regulasi yang telah dipersetujui oleh 211 negara yang mempunyai keahliannya yang mana larangan bermain lima hari digunapakai secara automatik sekiranya persatuan bola sepak negara berkenaan mengemukakan permohonan tersebut.

Untuk Brazil mengikut peraturan FIFA terkini, Brazil boleh menuntut pemainnya yang dipilih untuk tugas antarabangsa tidak layak untuk beraksi dalam aksi kelab untuk lima hari selepas perlawanan antarabangsa berakhir sebagai tindakan menghukum kelab yang tidak melepaskan pemain itu.

Maka larangan lima hari itu bermula selepas aksi terakhir antarabangsa, yang mana dalam kes Brazil kali ini menggunapakai dari 10 hingga 14 September ini yang melarang pemain Brazil daripada beraksi untuk kelab mereka sehingga tengah malam Selasa.

Peraturan FIFA juga guna pakai untuk negara Amerika Selatan yang lain iaitu Mexico, Chile dan Paraguay bermakna penyerang Wolves Raul Jimenez dan Miguel Almiron dari Newcastle juga disekat dari beraksi dalam perlawanan EPL minggu ini.

Namun lain pula senario untuk Everton dalam kes ini apabila pemain Brazil mereka Richarlison telah diberitahu dia boleh beraksi bersama kelab minggu ini kerana  terselamat dari tindakan FIFA kerana nama dia dikeluarkan dari senarai skuad selepas mengambil kira hubungan baik yang terjalin dengan FA Brazil.

The Toffees membenarkan pemain itu beraksi untuk negaranya dalam Olimpik Tokyo 2020 dan ia menjadi penyumbang utama Everton terkecuali dari tindakan FIFA.

Namun perlawanan kelayakan yang seharusnya berlangsung antara Argentina dan Brazil selaku juara lima kali termasya empat tahun sekali itu pad Ahad dibatalkan selepas pihak berkuasa kesihatan Brazil mendakwa empat pemain Argentina mengingkar peraturan kuarantin Covid-19.

Kini kes berkenaan disiasat oleh badan disiplin FIFA untuk tindakan sejawarnya.

Penggantungan terhadap 10 pemain itu bermakna kelab-kelab elit dalam EPL akan turun aksi keempat dalam EPL minggu ini tanpa pemain penting mereka.-Dailymail.com.