Pekerja membuat persiapan untuk dine-in ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Restoran Marrakesh, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kawasan Lembah Klang yang melibatkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Jumaat, 10 September.

Perkembangan terbaharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu diputuskan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dalam mesyuarat hari ini.

Antara kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa 2 sebelum ini, seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu:

  • Rentas daerah dibenarkan kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin;
  • Pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin dibenarkan untuk merentas negeri;
  • Ibu bapa yang telah mendapat dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun;
  • Dine-in dibenarkan di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin; dan
  • Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama yang melibatkan penginapan di hotel dan homestay bagi individu yang telah lengkap dua dos.

Jawatankuasa turut memutuskan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama.

Oleh itu pergerakan antara negeri-negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya.

Sementara itu, jawatankuasa turut bersetuju untuk melonggarkan SOP bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi, untuk negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1.

Antara ketetapan yang telah diputuskan ialah:

  • Membenarkan aktiviti sukan indoor, kecuali gimnasium, kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin.
  • Fasiliti sukan dan rekreasi komersil tertutup (indoor) dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang telah lengkap divaksin. Penggunaan fasiliti perlu dilakukan secara janji temu di samping pematuhan SOP.

Keputusan ini dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta MKN juga akan berkuatkuasa pada 10 September 2021.

Bagi sektor perdagangan dan pengedaran; perniagaan kedai bunga/nursery, kedai peralatan outdoor dan galeri perumahan akan mula dibenarkan beroperasi mulai 10 September 2021 bagi negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1.

Sementara itu bagi negeri yang diletakkan di bawah Fasa 2 dan Fasa 3, kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, hair dresser, dan salon kecantikan dibenarkan.

Keterangan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini akan dikemaskini oleh MKN dan kementerian berkaitan. – MalaysiaGazette