PUTRAJAYA – Penurunan kadar vaksinasi di negara ini memberi petunjuk baik bahawa ramai penduduk telah mendapat suntikan vaksin Covid-19.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penurunan kadar vaksinasi dijangka terus berlaku pada minggu-minggu akan datang.
Katanya, penurunan kadar vaksinasi itu adalah memberangsangkan.
“Ramai bertanya kepada saya, kenapa kini jumlah pemberian vaksin semakin menurun.
“Ini sebenarnya petanda baik kerana lebih ramai rakyat sudah divaksin.
“Syukur, kita kini berada pada landasan yang betul dan vaksinasi di negara ini telah mencapai peratusan yang membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas antara beliau dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di sini hari ini.
Menurut Adham, negara kini berada pada landasan yang betul dan vaksinasi yang diberikan juga telah mencapai kadar yang membanggakan.
Tambahnya, pada 2 September negara telah melepasi Amerika Syarikat (AS) apabila kadar vaksinasi ke atas populasi telah diberikan sekurang-kurangnya satu dos. – MalaysiaGazette