Ismail Sabri menandatangani surat cara pelantikan dihadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri ke 9 pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu.

TEKA-TEKI  pemilihan dan pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-9 selesai apabila
Dato’ Seri Ismail Sabri telah mendapat majoriti Kuasa Legislatif (Ahli Dewan Rakyat)
bagi menamatkan episod keabsahan Kerajaan baharu hari ini. Peranan yang dimainkan oleh Majlis Raja-Raja yang bersidang sebelum ini akhirnya merupakan kebijaksaan tertinggi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan krisis politik yang melanda dalam negara masih berdepan dengan krisis yang lebih besar pandemik Covid-19.

Pastinya tumpuan selepas pelantikan ini adalah pembentukan kabinet baharu dan Majlis/Jawatankuasa "ad-hoc" dalam menjunjung titah Duli-Duli Tuanku untuk
menjadikan tumpuan kesihatan awam ini sebagai Agenda Nasional. Harus diingat bahawa selepas PRU 2018, ini adalah kerajaan ketiga ditubuhkan akibat polemik politik yang mengjengkelkan dan tidak langsung membantu rakyat dalam memulihkan semula negara akibat pandemik yang melanda khususnya mereka yang terkesan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Tidak perlu dirunsingkan bagaimana YAB Dato’ Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri yang baru untuk terus menjalankan amanah beliau kerana beliau adalah sebahagian dalam Kabinet Kerajaan terdahulu dan juga menjadi individu penting dalam menangani pandemik ini sejak 17 bulan yang lalu. Apa yang perlu diberi keutamaan bagaimana untuk membentuk pasukan dan strategi berkesan dalam memerangi pandemik ini yang semakin menunjukkan angka membimbangkan terutamanya melibatkan kehilangan nyawa manusia dan kemerosotan ekonomi serta kelangsungan masa depan negara yang dibebankan kena perubahan lanskap politik yang tidak matang.

Jika sebelum ini, kerajaan pernah mengatur strategi dengan penuh berhati-hati, namun sewajarnya dengan pengalaman dan fakta serta data yang mencukupi, kerajaan baharu wajar menggunakan pendekatan "Agile" atau tangkas dalam membantu rakyat menghadapi pandemik ini sekali gus menjunjung titah Majlis Raja-Raja yang ingin kesihatan dan kelangsungan kehidupan rakyat menjadi keutamaan.

Tidak dinafikan Kerajaan sebelum ini tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengenal pasti isu dan masalah utama apabila pandemik Covid19 melanda, jadi seharusnya kabinet baharu yang bakal dibentuk ini perlu mengumpulkan seoptimum mungkin data yang mempunyai korelasi antara satu sama lain antara kesihatan, ekonomi, kedudukan terkini rakyat termasuk pendidikan dan sosial yang boleh diadaptasi dari analisis PESTLE (political, economic, social, technology, legal and environment). Dalam mendapatkan data yang boleh percaya, maklum balas asal diperlukan dari rakyat yang terkesan dan berdepan dengan situasi sukar.

Optimumkan jentera kerajaan dalam mengumpulkan maklumat dan aplikasi teknologi terkini dalam mempercepatkan pencapaian data kerana ianya merupakan modal utama dalam merancang dan membuat strategi terbaik. Selepas strategi dimuktamadkan termasuk risiko-risiko telah pun diketahui, ianya perlulah dilaksanakan segera secara ‘total’ dan tiada pengecualian.

Dalam tempoh pelaksanaan strategi, "agile" ini memungkinkan kita mengemaskini inisiatif secara tangkas dan iteratif (berulang-ulang) bagi memastikan keberhasilan yang cepat. Dalam konteks memerangi pandemik ini, setiap strategi yang diperkenalkan wajar dibuat secara fleksibel mengikut situasi semasa. Strategi PKP dan PPN yang diperkenalkan sebelum ini adalah baik pada waktu itu tetapi sekarang ini wajar dikaji semula selepas kita memperolehi dapatan yang terkini impak positif atau negatif.

Strategi tangkas atau "agile" ini juga menyentuh bagaimana kerjasama dalam satu pasukan yang memerlukan koordinasi yang baik antara jentera pelaksana. Tidak
perlu terlalu banyak Jawatankuasa atau Majlis ditubuhkan, sebaiknya wujudkan Jawatankuasa Pusat yang diselaraskan pelaksanaannya di peringkat agensi dan negeri. Pengalaman kita sebelum ini apabila berlaku ketidakcekapan dalam menguruskan pandemik ini kerana terlalu banyak menteri di beri tanggungjawab yang peranan yang sama akhirnya terkait dengan perselisihan dasar dan polisi seperti contoh mudah kebenaran beroperasi dan rentas negeri yang turut menyumbang kepada kemarahan rakyat apabila ianya tidak jelas.

Bagi keahlian Kabinet, wajar kebijaksaan Perdana Menteri diselarikan dengan mendapat
pandangan para profesional kerana setiap kementerian mempunyai misi dan visi serta objektif penubuhan Kementerian itu sendiri. Janganlah sekali lagi kita mengulangi kesilapan yang sama dengan meletakkan seseorang Ahli Parlimen itu sebagai menteri atas dasar politik yang boleh mengawal sesuatu Kementerian atau dasar yang menguntungkan parti/ setengah pihak berkepentingan. Belajarlah dari masa lalu kerana setiap kali bertukar menteri, acapkali dasar yang diubah memeritkan rakyat yang sudah lama terkesan dengan senario semasa negara.

Bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan penyampaian kerajaan, penstrukturan Kementerian bukan lah masa sesuai buat masa ini kerana ia akan menjejaskan penyampaian kepada rakyat. Apa yang perlu dikurangkan adalah lantikan politik apabila seseorang menteri itu dilantik yang tidak ada kena mengena dengan pelaksanaan dasar Kerajaan. Sebelum ini, seorang menteri mempunyai paling minimum 3 orang Pegawai Khas dan ada mencecah sehingga 10 orang atau lebih.

Lantikan-lantikan inilah yang akan menambahkan perbelanjaan operasi (emolumen) kerajaan dan mewujudkan birokrasi yang tinggi. Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, tugas Legislatif yang dilantik sebagai menteri untuk membawa dan membahas usul bagi pihak Kementerian/rakyat. Jika merujuk kepada perkara tersebut, tiada keperluan jawatan timbalan menteri juga buat masa ini.

Sewajarnya, struktur di kementerian diperkasakan dengan kredibiliti Ketua-Ketua
Setiausaha, Ketua-Ketua Perkhidmatan dan Ketua-Ketua Pengarah yang lebih profesional dan kekal sebagai pegawai kerajaan yang kekal dan tidak dipengaruhi oleh pengaruh politik. Rakyat mengimpikan harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri ke-9 dan Gagasan Barunya melalui keahlian, strategi dan pendekatan yang sentiasa mengutamakan rakyat dalam tempoh yang singkat iaitu 2 tahun sebelum rakyat
menentu kan semula pimpinan negara pada PRU ke 15 tahun 2023.

OLEH: Raja Shah Erman Raja Arifin
Presiden
Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast