Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melihat dokumen serah tugas bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba pada Majlis Serah Terima Tugas Menteri MOSTI dan Menteri Kesihatan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Program vaksin di secara walk-in di Lembah Klang akan dihentikan sepenuhnya mulai 15 September ini.

Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bermula 16 September penduduk Lembah Klang yang belum divaksin boleh berbuat demikian di Klinik Kesihatan tertentu sahaja.

Katanya, langkah itu diambil berikutan faktor kadar penduduk di Lembah Klang yang masih belum divaksin sangat rendah.

Malah, kadar kehadiran ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga semakin rendah.

“Saya ingin mengumumkan program vaksinasi secara walk-in di Lembah Klang dihentikan selepas 15 September, katanya pada probgram serah tugas antara beliau dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di sini hari ini.

Beliau berkata, senarai Klinik Kesihatan akan diumumkan nanti.

Bagaimanapun, katanya, walk in di negeri-negeri lain masih lagi diteruskan dan orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing untuk maklumat terkini mengenai walki-in di negeri-negeri.

Dalam perkembangan lain, Adham berkata, kerajaan turut memutuskan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi (Swasta) dan pelajar matrikulasi boleh mendapatkan vaksin secara walk-in ke PPV terbuka dengan syarat menunjukkan kad pelajar mereka.

Beliau berkata, sebanyak 195,000 atau 37.5% pelajar IPTA dan 51,000 atau 10.2 peratus pelajar IPTS tidak mempunyai rekod pendaftaran vaksin setakat ini.

Setakat 7 September lalu, sebanyak 547,595 atau 53.2 peratus pelajar IPTA dan IPTS telah lengkap divaksin.

“Saya harap usaha memberi kesedaran berhubung vaksinasi dipertingkatkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette