Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bagaimana bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan wang lebih RM9 juta yang disumbangkan kepada Yayasan Akalbudi untuk membina masjid.

Sumbangan itu dilakukan Pengarah MyEG Service Bhd (MyEG), Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah untuk membina dua buah masjid seperti yang diminta oleh Ahmad Zahid.

Malah ketika sesi soal balas pada prosiding sebelum ini, Mohd Jimmy yang merupakan saksi ke-73 berulang kali menyatakan beliau mendermakan wang miliknya sendiri dan ia tidak mempunyai kait dengan MyEG.

Menurut peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh, pendakwaan seperti cuba mengaitkan sumbangan tersebut dengan wang syarikat berkenaan.

“Saksi telah menyebut dengan terang wang yang disumbangkan itu adalah dana peribadinya. Beliau telah berkali-kali mendedahkan dirinya tidak terlibat dengan operasi syarikat namun pendakwaan masih cuba kait.

“Ketika pemeriksaan utama, pendakwaan tidak pula soal saksi apa-apa yang boleh dikaitkan dengan unsur rasuah.

“Jadi di sini kita boleh rumuskan bahawa sumbangan itu bukanlah pembiayaan wang haram atau langgar undang-undang penggubahan wang haram,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Sebelum ini, Mohd Jimmy memberitahu, pada 2015 beliau telah menemui Ahmad Zahid di kediaman peribadinya dan melahirkan hasrat untuk menyalurkan menyumbang untuk membina masjid.

Selain Mohd Jimmy, Cergas Murni Sdn Bhd, HRA Teguh, Ong Weng Fatt, Hwa Thong Bags Industries, Hussein Annifah, Rajan Thurairetnam, Rajan Gunaratnam, Patt Siew Ming, Mohyiddin Al-Halabi, Tarbush Al-Halabi, Al-Halabi Lounge Sdn Bhd dan Mubarak Hussain merupakan antara syarikat atau individu yang memberikan sumbangan kepada Yayasan Akalbudi.

Ketika itu, Ahmad Zahid merupakan Menteri Dalam Negeri.

Hisyam berkata, pada hakikatnya pihak pendakwaan gagal menunjukkan bukti bahawa sumber dana dalam 25 pertuduhan pengubahan wang haram adalah hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang memandangkan semuanya mengikut saluran yang sah.

Perbicaraan akan disambung pada 13 September ini selepas Ahmad Zahid menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Pada awalnya peguam bela memohon supaya tarikh itu ditangguh ke tarikh lain namun Collin tetap mahu bekas Perdana Menteri itu hadir pada prosiding sebelah petang.

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette