Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Pemberian dos penggalak mungkin menjadi keperluan untuk menangani peningkatan mendadak kes Covid-19 di beberapa negeri.

Ia susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sarawak walaupun kadar vaksinasi di negeri itu sudah melepasi 80 peratus ketika ini.

Menyifatkan ia berkemungkinan disumbangkan daripada penurunan keberkesanan vaksin selepas beberapa bulan pemberian vaksin dilaksanakan di negeri itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dos penggalak juga dilihat dapat menurunkan kes di beberapa negara yang sudah mencapai imuniti kelompok dan jumlah pemberian vaksin yang tinggi seperti Singapura dan Israel.

“Kita sudah tentu tidak mengetepikan untuk memberikan dos penggalak. Saya sudah meminta laporan untuk cadangan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) minggu depan.

“Selepas itu, saya akan berbincang dengan kerajaan Sarawak mengenai strategi selepas itu.

“Namun, saya juga mahu menambah kerajaan Sarawak sudah mengambil langkah proaktif bermula semalam untuk memberikan vaksin kepada golongan remaja yang dilakukan dengan segera untuk memastikan liputan vaksinasi terhadap seluruh populasi meningkat,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, semua pesakit Covid-19 kategori 2 dan kategori 3 yang berisiko tinggi akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) selepas ini.

Perkara itu akan dilakukan selepas menjalankan penilaian risiko terhadap pesakit terbabit.

Bagi tujuan itu katanya, beliau sudah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri untuk menyediakan ruang untuk memasukkan pesakit bagi kedua-dua kategori berkenaan di PKRC masing-masing.

“Saya sudah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri untuk memberikan alat peranti perubatan untuk mengukur kadar oksigen kepada pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah masing-masing jika mereka juga dikategorikan sebagai berisiko tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette