Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun ke-5 BERSATU di Damansara Perdana, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk melayani tuntutan mana-mana pihak untuk membuat penstrukturan semula Majlis Pemulihan Negara (MPN) lebih-lebih lagi melibatkan pelantikan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana ia telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebaliknya berkata, semua pihak sewajarnya membantu kerajaan dan agensinya dalam menangani Covid-19 khususnya memulihkan ekonomi dan rakyat yang terjejas terus sejak tahun lepas.

“Keputusan telah dibuat bahawa inilah struktur kerajaan dan inilah dia struktur baharu dalam MPN.

“Apabila keputusan sudah dibuat, saya kira kita bantu sahajalah untuk pastikan kerajaan dan MPN sebagai salah satu entiti dalam kerajaan boleh menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Damansara Perdana, hari ini.

Pada Isnin lalu, NGO Reset Malaysia menghantar memorandum kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar untuk merayu penstrukturan semula MPN dilakukan dan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengetuai agensi kerajaan itu.

Ketua Sekretariatnya, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi berkata, jawatan itu perlu digalas pemimpin yang terbukti cekap menguruskan krisis negara sebelum ini seperti bekas Perdana Menteri ketujuh itu.

Dalam pada itu, Wan Saiful juga menghargai pandangan semua pihak, apatah lagi cadangan serta kritikan yang dilontarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mendepani pandemik.

“Saya rasa pandangan-pandangan yang disuarakan oleh Tun Dr Mahathir sebagai pandangan daripada seorang berpengalaman dalam politik negara dan memang diambil kira.

“Kita terima pandangan semua pihak dan bila kita terima pandangan itu, saya minta supaya kerajaan menerima pandangan daripada semua pihak.

“Kita anggap sebagai kritikan konstruktif dan dengan itu pendekatan keseluruhan kerajaan dan masyarakat ini benar-benar dapat diterjemahkan,” katanya.

Katanya lagi, meskipun kerajaan memberi ruang itu, namun pandangan dan kritikan mestilah ke arah kebaikan serta boleh membantu kerajaan menangani krisis negara.

“Tak payah lagi cakap pertukaran itu dan ini, selesai bahagian itu, kita mara ke hadapan tapi kita hargai pandangan daripada semua pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette