Kereta merah yang melanggar penunggang basikal dalam kejadian pagi tadi di Jalan Kinabalu telah dirakam keterangan oleh polis dan kereta itu disita untuk siasatan lanjut.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian langgar lari seorang penunggang basikal di Jalan Kinabalu pagi tadi, telah selesai dirakam keterangannya oleh polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pemandu terbabit bagaimanapun telah dibebaskan polis selepas keterangannya dirakam petang tadi

Namun katanya, kenderaan individu berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut.

“Pemandu terbabit kejadian langgar lari itu berjaya dikesan selepas polis meneliti rakaman video kejadian itu dan kemudian menghubunginya.

“Lelaki berusia 22 tahun itu kemudian hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee pada jam 4.45 petang tadi untuk dirakam keterangan oleh polis,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Sarifudin, polis masih meneruskan siasatan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi Rabu, mangsa yang juga seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat perlanggaran itu.

Susulan itu, mangsa berusia 33 tahun membuat satu laporan polis di Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di sini.

Berdasarkan rakaman video tular, berdurasi satu minit dalam media sosial, mangsa dilihat sedang berbasikal dari arah Cheras menghala ke Jalan Kuching.

Sejurus mangsa tiba di Jalan Kinabalu, dia dilanggar sebuah kereta berwarna merah dari arah belakang.

Pemandu berkenaan bagaimanapun terus memecut tanpa berhenti di tempat kejadian. – MalaysiaGazette