Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah memantau harga kawalan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) menerusi Ops Bersepadu yang dijalankan di beberapa buah farmasi di Sri Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2021.

GOMBAK – Masih ada segelintir peniaga yang masih meletakkan harga kawalan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) melebihi harga ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM39.90 seunit.

Ia dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam pemantauan pihaknya di seluruh negeri itu sejak Ahad lalu dan berakhir semalam.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, setakat ini pihaknya menerima dua aduan sahaja.

“Berdasarkan pemeriksaan saya boleh nyatakan 10 peratus daripada jumlah itu masih lagi tidak meletakkan harga mengikut ketetapan.

“Kita dapat maklumat mereka masih lagi menjual stok yang lama, jadi stok yang lama mereka dapat pada harga yang tinggi jadi kita nasihatkan supaya dapat membuat pelarasan harga dengan segera dan sekiranya masih lagi dijual dengan harga tinggi kita akan ambil tindakan.

“Antara alasan lain yang dikemukakan adalah tidak peka berkaitan harga kawalan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjalankan pemeriksaan ke atas lima buah farmasi menerusi Op Bersepadu KPDNHEP Selangor bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak di Sri Gombak hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Persekitaran PKD Gombak, Julyniza Salan.

Selain itu, menurut Muhamad Zikril Azan, sebanyak 503 premis telah diperiksa KPDNHEP Selangor melibatkan 200 pegawai penguat kuasa dan 77 pegawai pemantau harga dalam operasi di sembilan daerah.

Pemantauan dibuat meliputi sektor pengedaran, pemborong serta peruncitan.

Pegawai pengua tkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak memantau harga kawalan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) menerusi Ops Bersepadu yang dijalankan di beberapa buah farmasi di Sri Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2021.

 

Muhamad Zikril turut menegaskan, KPDNHEP akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ulangan secara berterusan.

“Sekiranya terdapat perlanggaran oleh pihak peniaga, tindakan kes akan dikenakan bermula 12 September ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan dan perundangan yang ditetapkan.

“Saya juga beri amaran dan peringatan kepada mana-mana peniaga di negeri Selangor supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan mengambil keuntungan yang tidak munasabah, mencatut atau manipulasi harga ketika permintaan meningkat dalam kalangan pengguna,” ujarnya.

Jelas Muhamad Zikril, bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Terdahulu Kementerian Kesihatan dan KPDNHEP memutuskan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaran tempatan ditetapkan RM19.90 seunit berkuat kuasa 5 September lalu.

Kedua-dua kementerian turut menetapkan harga borong maksimum bagi kit ujian sama pula ditetapkan pada RM16 satu set dan penentuan harga maksimum kit ujian ini dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. – MalaysiaGazette