PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya melumpuhkan dua sindiket pemberi pinjaman tanpa lesen yang digelar kumpulan Ah Han dan Ah Sing dengan tertangkapnya sekumpulan 14 individu menerusi serbuan Op Vulture di Johor pada Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, operasi tersebut dijalankan secara serentak di sekitar daerah Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri.

Menurut beliau, hasil serbuan dan pemeriksaan, seramai 11 lelaki warga Cina dan tiga wanita tempatan yang berusia lingkungan 15 hingga 34 tahun berjaya diberkas.

“Kesemua tangkapan ini disyaki terlibat dalam aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa.

“Siasatan awal mendapati sindiket-sindiket ini beroperasi semenjak pertengahan tahun 2019 dengan modus operandi yang mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp.

“Sindiket ini menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta. Kadar faedah pinjaman yang diberikan sekitar 10 hingga 15 peratus bagi tempoh seminggu.

“Namun apabila peminjam gagal melunaskan bayaran balik, mangsa akan dihubungi oleh ahli sindiket yang akan memberikan tekanan berbentuk ugutan dan ancaman seperti mengunjungi kediaman atau tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Kamarudin, ahli sindiket juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal menjelaskan bayaran pinjaman dengan menawarkan pinjaman baharu bagi menyelesaikan pinjaman terdahulu.

Katanya lagi, cara tersebut bagi membolehkan ahli sindiket meneruskan kontak dengan peminjam untuk memaksa mereka membuat bayaran berlipat kali ganda.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, menerusi serbuan yang dijalankan, polis turut merampas lapan buah kereta mewah, 23 buah telefon bimbit, 67 keping kad bank, dua buah tablet, sebuah komputer riba, enam keping sijil pemilikan kenderaan, sebuah buku senarai nombor telefon peminjam wang dan wang tunai berjumlah RM339,870.

“Semakan lanjut mendapati sindiket berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkait Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Menurut Mohd Kamarudin, kesemua tangkapan akan disiasat mengikut Seksyen 5(2), Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 506 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiataan Keganasan 2001 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 683 kes yang dilaporkan telah disiasat oleh JSJK melibatkan jumlah pinjaman RM2.91 juta.

“Sejak Januari hingga Ogos tahun ini, seramai 801 ‘ah long’ telah ditahan.

“JSJK sentiasa membuat pemantauan dan risikan secara berterusan bagi mengesan serta mengenal pasti sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang bergerak aktif di seluruh tanah air,” ujarnya. – MalaysiaGazette